BELANJAWAN 2025 > BERITA

Netizen Teruja Dengan Momen 'Seablings' Di Sidang Kemuncak G20 Di Rio

20/11/2024 05:33 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 20 Nov (Bernama) -- "Semangat ASEAN bersinar di mana sahaja kita berada!" kata  Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mnerusi hantaran di laman media sosialnya pada Selasa.

Kenyataan itu disertai foto Wong bersama tiga pemimpin ASEAN lain di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, iaitu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Foto santai yang memaparkan para pemimpin itu tertawa bersama telah menarik perhatian di Facebook dan X, dengan ramai netizen, khususnya dari rantau ini, meluahkan kegembiraan melihat keakraban antara pemimpin berkenaan walaupun pertemuan berlangsung lebih 15,000 kilometer jauhnya.

Seorang pengguna media sosial menggelar mereka sebagai "SEAblings" – gabungan perkataan "Southeast Asia" dan "siblings", yang menggambarkan hubungan erat negara-negara serantau ini, memandangkan pemimpin ASEAN sering menyifatkan negara anggota sebagai adik-beradik.

"ASEAN telah menjadi contoh selama beberapa dekad dalam menunjukkan bagaimana jiran tetangga boleh maju dan cemerlang melalui kerjasama yang saling menguntungkan meskipun ada cabaran dalam hubungan dua hala. Seronok melihat generasi baharu pemimpin memperkukuh persahabatan ASEAN," kata pengguna Syed Nazmul Ahsan di X.

Ada juga yang menekankan betapa jarangnya empat daripada 10 pemimpin ASEAN bertemu dalam acara seperti ini memandangkan hanya Indonesia adalah anggota tetap G20.

Malaysia, Singapura, dan Vietnam menyertai sidang kemuncak itu sebagai negara jemputan oleh tuan rumah.

Para pemimpin menghadiri pelbagai jadual padat, termasuk pertemuan dua hala di luar sidang kemuncak itu.

Wong berkata bagi Singapura, kehadiran di Sidang Kemuncak G20 memberi peluang untuk memainkan peranan dalam membentuk inisiatif global, mendahului trend semasa, dan menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

“Tahun ini, saya berpeluang memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia, berkongsi perspektif Singapura, dan mengangkat isu utama seperti penciptaan pekerjaan, menangani ketidaksamaan, serta menyokong peralihan tenaga yang adil,” katanya di media sosial.

Sidang kemuncak yang baru sahaja berakhir itu menyaksikan para pemimpin G20 menangani cabaran utama global dan krisis, serta mempromosikan pertumbuhan yang kukuh, mampan, seimbang, dan inklusif.

Para pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk membina dunia yang adil dan planet yang mampan, dengan memberi keutamaan kepada perjuangan menentang ketidaksamaan dalam semua dimensi, tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan