BELANJAWAN 2025 > BERITA

Untung Bersih Suku Ketiga MYEG Naik 62.5 Peratus Kepada RM195 Juta

20/11/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih MY E.G. Services Bhd (MYEG) meningkat 62.5 peratus kepada RM195.05 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 daripada RM120 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dipacu oleh yuran perkhidmatan lebih tinggi dan keuntungan pelaburan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan bagi suku ketiga meningkat 27.8 peratus kepada RM248.13 juta daripada RM194.12 juta sebelumnya.

Peningkatan pendapatan yang ketara itu adalah hasil sumbangan daripada yuran perkhidmatan aplikasi Web3 menerusi platform blockchain Zetrix serta keuntungan nilai saksama daripada pelaburan dalam HeiTech Padu Bhd.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, keuntungan bersih MYEG meningkat 53 peratus kepada RM516.42 juta daripada RM337.49 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dengan perolehan menokok 31 peratus kepada RM723.37 juta daripada RM552.22 juta.

Pada masa hadapan, syarikat menjangka pertumbuhan yang mampan menerusi pelancaran perkhidmatan inovatif yang memanfaatkan teknologi blockchain dan Web3 di Malaysia dan di luarnya.

"Menerusi platform blockchain Layer 1 iaitu Zetrix yang pada masa ini beroperasi sepenuhnya, MYEG secara aktif mengkomersialkan perkhidmatan inovatif berikutan penerimagunaan Web 3.0 yang semakin pantas.

"Selain itu, pengintegrasian Zetrix dengan platform blockchain nasional China, Xing Huo, membolehkan perdagangan rentas sempadan yang lancar, menandakan penyertaan kumpulan ke pasaran global," katanya.

Lembaga pengarah kekal optimis terhadap prospek jangka panjang MYEG, dengan mengambil kira potensi pertumbuhan yang kukuh, dipacu oleh kemajuan teknologi dan tawaran perkhidmatan baharu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan