KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Dasar Pengkomputeran Awan Negara dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini, menurut Kementerian Digital.
Selain itu, kementerian itu berkata Jabatan Digital Negara (JDN) sedang menyemak semula Perjanjian Kerangka Awan (CFA) yang merupakan sebahagian usaha berterusan kementerian untuk menambah baik polisi berkaitan dengan pengkomputeran awan.
“Penubuhan pusat data baharu dan perkhidmatan awan dapat menyokong dan memacu pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta meningkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” kata kementerian tersebut.
Kementerian berkenaan berkata demikian menerusi jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai perancangan Kementerian Digital untuk mengembangkan ekonomi hiliran setelah Malaysia menerima pelaburan tinggi dalam sektor digital terutamanya daripada penubuhan pusat data.
Menurut kementerian berkenaan, industri pusat data di Malaysia yang berkembang pesat menyokong penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dengan menyediakan infrastruktur asas untuk AI.
Katanya, sehingga Ogos 2024, lebih lima pusat data sedia AI berskala besar (AI-ready hyperscalers) telah dibangunkan di seluruh negara.
“Ketersediaan infrastruktur asas sedia AI ini akan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi daripada syarikat teknologi global ke dalam negara,” katanya.
Kementerian Digital juga mengenal pasti 200 syarikat tempatan berpotensi sebagai penyedia perkhidmatan teknologi AI seiring dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hab AI Generatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial