BELANJAWAN 2025 > BERITA

VMS, Papan Iklan LED DBKL Papar Status Cuaca Mulai Esok - Dr Zaliha

21/11/2024 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Semua khidmat Sistem Mesej Pelbagai (VMS) atau papan iklan LED di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memaparkan status semasa cuaca dan amaran kemungkinan banjir kilat bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata langkah proaktif amaran awal itu bagi memastikan rakyat khususnya penduduk Kuala Lumpur dapat bersedia dan mengambil langkah awal kemungkinan berlaku bencana banjir kilat.

“Untuk usaha ini kita mendapat kerjasama daripada MetMalaysia (Jabatan Metrologi Malaysia) dan juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran). Langkah ini kita akan dimulakan dengan papan iklan LED di Menara DBKL terlebih dahulu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanyakan tentang langkah DBKL untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur serta senarai projek pembangunan yang telah diluluskan DBKL di kawasan persekitaran kolam takungan banjir sejak 2014.

Dr Zaliha berkata DBKL turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur bersama beberapa agensi lain sebagai langkah bantuan segera dalam tempoh kurang 30 minit daripada waktu terima amaran awal banjir jalan atau banjir kilat di Kuala Lumpur.

Agensi terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL).

Sementara itu mengenai isu kolam takungan banjir, Zaliha berkata terdapat lapan projek pembangunan telah diluluskan di kawasan persekitaran kolam takungan banjir di Kuala Lumpur sejak  2014 melibatkan Kolam Taman Wahyu, Kolam Delima, Tasik Metropolitan Kepong dan Tasik Damai Lake Fields.

“Berdasarkan pemantauan di DBKL di kawasan-kawasan projek sekitar kolam takungan banjir yang telah diluluskan, didapati paras air masih dalam keadaan terkawal dan masih belum pernah berlaku kejadian banjir di situ,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaliha turut menjelaskan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India yang berlaku pada 23 Ogos lepas, tidak ada hubungan secara langsung dengan banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya sebagai langkah pencegahan lubang benam di Kuala Lumpur, DBKL melaksanakan kajian struktur tanah yang dipantau pasukan petugas khas sejak insiden itu berlaku dan proses kajian kini dalam peringkat akhir.

“Untuk tindakan jangka pendek, DBKL dan agensi terlibat sedang melaksanakan audit integriti aset-aset utiliti serta pemetaan dan ujian integriti bawah tanah di kawasan di kawasan Daerah Pusat Perniagaan (CBD) di Kuala Lumpur.

“Selain itu, kerja penyiasatan tanah bagi menentukan struktur lapisan tanah menggunakan kaedah Radar Penembusan Tanah (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) serta ujian geofizik iaitu Micro Gravity untuk mengesan kewujudan lohong bawah tanah dan Ground Settlement Monitoring untuk mengesan pergerakan tanah turut dijalankan,” katanya.

Bagi tindakan jangka panjang, Zaliha berkata DBKL akan melaksanakan penyiasatan tanah menggunakan Deep Boring (Bore Hole) disertakan dengan ujian makmal dan laporan geoteknikal oleh jurutera awam yang bertauliah untuk kawasan pembangunan berisiko.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan