BELANJAWAN 2025 > BERITA

Devan Tagih Pemain Melaka FC Yakin, Tunjuk Kemampuan Lawan TFC

21/11/2024 11:10 PM

ALOR GAJAH, 21 Nov (Bernama) -- Ketua Jurulatih Melaka FC, K Devan menagih pasukan bimbingannya untuk percaya pada kebolehan masing-masing dan bermain dengan yakin dalam pertemuan dengan pasukan gergasi Liga Super, Terengganu FC (TFC) Sabtu ini.

Pengendali berpengalaman berusia 63 tahun itu berkata biarpun pasukannya dianggap sebagai 'underdog' namun mereka tidak berada dalam tekanan untuk melayan kunjungan skuad Sang Penyu di Stadium Hang Jebat.

"Selepas perlawanan terakhir Liga A1 Semi Pro, kita telah memulakan latihan untuk berdepan cabaran Piala Malaysia...setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan seperti dirancang.

"Kita juga telah membawa masuk dua pemain import iaitu Rodrigue Nanitelamo dari Perancis dan Oumar Bangoura dari Guinea di posisi pertahanan dan tengah bagi membantu pasukan," katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Lendu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Devan berkata menghadapi lawan yang lebih kuat seperti TFC yang juga finalis Piala Malaysia musim lepas bukan perkara mudah memandangkan pasukan tersebut dibarisi ramai pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Azam Azmi dan beberapa pemain kebangsaan lain.

Bagaimanapun katanya bermain di hadapan penyokong sendiri dijangka memberikan suntikan semangat kepada pasukannya sekali gus mampu memberikan saingan dan mencari bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik di tempat lawan minggu hadapan.

"Bagi saya perlawanan ini juga satu peluang untuk para pemain tunjuk kemampuan sebenar dan kualiti mereka apabila berhadapan dengan pasukan elit dan mempunyai kualiti lebih baik.

"Apa yang lebih penting ialah mereka perlu bermain sebagai pasukan dan kita juga ada strategi sendiri daripada segi taktikal dan tunjukkan permainan sebaik mungkin untuk beri saingan kepada Terengganu," katanya.

Beliau berkata dengan semangat juang tinggi dan mengikut arahan yang diberikan, Melaka FC mampu memberi kejutan pada perlawanan itu.

Sementara itu ketua pasukan Mohd Nasir Basharuddin berkata beliau yakin dengan rakan-rakan sepasukannya yang kini telah bersedia untuk berdepan TFC.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu berkata mereka sepasukan juga berjanji untuk memberikan aksi terbaik dan saingan sengit kepada lawan bagi meraih keputusan yang positif sebagai bekalan.

"Kita tahu mereka pasukan yang lebih baik dengan pemain import berkualiti tetapi bagi saya itu bukan jaminan mudah untuk mereka ke peringkat seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan