BELANJAWAN 2025 > BERITA

21 Kenderaan Perdagangan Dikenakan Tindakan Dalam Ops Lebih Muatan

22/11/2024 11:30 AM

BUKIT MERTAJAM, 22 Nov (Bernama) -- Sebanyak 21 kenderaan perdagangan khususnya lori dikenakan tindakan menerusi Ops Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sini semalam.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan penguatkuasaan dijalankan terhadap kenderaan perdagangan yang dikesan membawa lebih muatan melebihi had dibenarkan dan pelbagai kesalahan teknikal.

"Sebanyak 21 buah kenderaan barangan telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57(1) (b) (iv) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959.

"Kesalahan lain dikesan dalam operasi itu ialah tidak tutup muatan, tayar haus berlebihan, pasang strobe light tanpa kebenaran, ubah suai kenderaan dan tidak selenggara kenderaan dengan baik," menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, penguatkuasaan berkenaan adalah untuk memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat APAD 2010 (Akta 715).

Sementara itu, dalam operasi berasingan JPJ Pulau Pinang memaklumkan sebanyak 147 saman telah dikeluarkan dalam Ops Khas Motosikal yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town dekat sini semalam.

Pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi itu antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, pamer nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dibenarkan, tidak pamer pelekat P, tiada cermin sisi dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan