BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Komited Tingkatkan Perkhidmatan Pentadbiran, Laksana Reformasi Institusi - Fahmi

22/11/2024 05:54 PM

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus meningkatkan dan menambah baik mutu perkhidmatan pentadbiran dengan meneliti kesemua pandangan yang diutarakan pelbagai pihak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Merujuk kepada laporan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang telah memberikan penilaian gred D atau markah 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata kerajaan sememangnya telah mengambil beberapa langkah perubahan termasuk mereformasi institusi.

“Insya-Allah dalam tempoh berbaki bagi sidang Parlimen kali ini, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) akan membawa beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi ataupun menambah baik institusi,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata lebih banyak RUU juga sedang direncanakan dan dirancang untuk dibawa ke Parlimen tahun hadapan termasuk RUU di bawah Kementerian Komunikasi.

“Contohnya RUU Majlis Media Malaysia yang sedang dalam proses akhir sebelum kita bawa ke Parlimen, tapi kita harap bacaan pertamanya adalah dalam sidang kali ini, dan ini adalah komitmen kerajaan untuk menambah baik termasuk ekosistem bagi para pengamal media,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Bersih menilai Kerajaan Perpaduan dengan gred D mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya, selain meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik, sejak 2009.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan