BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Peroleh Komitmen Pelaburan US$8.5 Bilion Daripada Syarikat UK

22/11/2024 06:16 PM

JAKARTA, 22 Nov (Bernama) -- Indonesia meraih komitmen pelaburan sebanyak US$8.5 bilion daripada 19 syarikat terkemuka United Kingdom (UK) semasa lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara itu.

Perjanjian itu, yang diumumkan pada Khamis berikutan Forum Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif, menggariskan keyakinan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi Indonesia dengan kestabilan politik negara dan komitmen terhadap tadbir urus yang bersih serta cekap memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan asing.

“Kami baru sahaja bertemu dengan pemimpin beberapa syarikat terbesar di sini, dan mereka telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak US$8.5 bilion. Ini mencerminkan keyakinan mereka terhadap ekonomi Indonesia,” kata Prabowo di London, menurut kenyataan Sekretariat Presiden pada Jumaat.

Menteri Kewangan Sri Mulyani yang turut hadir dalam mesyuarat di Lancaster House berkata para Ketua Pegawai Eksekutif amat berminat dalam sektor seperti peralihan tenaga, infrastruktur, pendidikan, dan penjagaan kesihatan.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada jadual lawatan rasmi Prabowo, yang turut termasuk menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham, majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri UK Angela Rayner, serta pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer di 10 Downing Street.

Prabowo dan delegasinya tiba di London pada Rabu untuk lawatan itu atas jemputan kerajaan UK.

Menurut Prabowo, perbincangannya dengan Perdana Menteri Keir Starmer tertumpu kepada usaha memperkukuh hubungan Indonesia-UK, dengan Starmer menyatakan minat mendalam untuk bekerjasama dalam sektor seperti ekonomi, perikanan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertahanan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan