BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kementerian Komunikasi Memperkukuh Kerjasama Dengan Perbadanan Labuan

22/11/2024 10:09 PM

LABUAN, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi mengesahkan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan (LC) dalam isu berkaitan persembahan artis luar negara dan penyebaran berita, bagi merancakkan ekonomi dan budaya di pulau berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) memainkan peranan penting dalam menguruskan permit bagi persembahan artis luar negara termasuk yang diadakan di tempat hiburan.

“Puspal bersedia untuk menyediakan garis panduan komprehensif bagi persembahan artis luar negara, memastikan pematuhan kepada sensitiviti budaya seperti isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja), dan menangani kebimbangan yang dikaitkan dengan LGBTQ+ serta elemen sensitif lain, termasuk Israel,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas ketua pegawai eksekutif LC yang baru dilantik Mohd Sukuran Taiband, bersama pasukan pengurusannya di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Nik Kamaruzaman juga menekankan hasrat kementerian untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi merancakkan ekonomi Labuan melalui peningkatan kedatangan pelawat, dengan memanfaatkan acara kebudayaan sebagai pemangkin utama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berikrar untuk menyokong usaha meningkatkan penyebaran berita di Labuan. 

Nur-ul Afida menekankan peranan Bernama dalam merapatkan jurang komunikasi dan mempromosikan inisiatif tempatan.

Beliau berkata antara inisiatifnya adalah program Labuan Connect, yang akan berlangsung esok di Kampung Patau-Patau 1.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Bernama, acara itu berfungsi sebagai projek perintis untuk memperkasakan komuniti tempatan melalui penglibatan digital.

“Program ini, dengan penyertaan usahawan yang mempunyai kaitan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), bertujuan untuk meluaskan akses kepada teknologi digital dan memberi inspirasi kepada inovasi dalam kalangan penduduk Labuan,” kata Nur-ul Afida.

Beliau menyifatkan Labuan Connect sebagai platform dinamik untuk memacu transformasi digital yang bermakna dan memupuk kerjasama antara pelbagai kumpulan komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan