BELANJAWAN 2025 > BERITA

Misi Jelajah Dunia Akhir BWF Aaron-Wooi Yik Terima Tamparan

22/11/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Misi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memburu tiket ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 menerima tamparan selepas terkandas di pusingan suku akhir Masters China 2024 di Shenzhen, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang perlu mara ke separuh akhir untuk melonjakkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia Akhir BWF, terpaksa akur dengan kehebatan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan bermula dengan langkah kiri apabila tewas 23-25 selepas berhempas pulas di set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-17 di set kedua.

Bagaimanapun, di set penentuan Aaron-Wooi Yik yang dilihat agak keletihan gagal menyaingi kehebatan pasangan lawan apabila kecundang 12-21.

Kekalahan kepada pilihan ketiga itu menjejaskan peluang Aaron-Wooi Yik yang ketika ini menghuni posisi kesembilan dalam ranking Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, untuk beraksi di kejohanan itu yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China bulan depan.

Peluang Aaron-Wooi Yik ke Hangzhou akan ditentukan menerusi kemaraan pasangan lain dalam Masters China yang akan menutup tirai saingannya Ahad ini.

Satu lagi beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang ketika ini berada di kedudukan keempat dalam ranking Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 sudah mengesahkan tempat.

Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-23 dalam satu lagi pertembungan suku akhir sekali gus menjadi keputusan yang menambah tekanan kepada Aaron-Wooi Yik.

Kejayaan mara ke separuh akhir itu sudah pasti mengukuhkan lagi kedudukan Sabar Karyaman-Moh Reza yang kini menghuni posisi kelapan dalam ranking Jelajah Dunia Akhir BWF. 

Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut tewas kepada gandingan tuan rumah yang juga pilihan kedua Liu Sheng Shu-Tan Ning, 16-21, 17-21 dalam tempoh 48 minit.

Pearly-Thinaah dijangka tidak berdepan masalah beraksi di Hangzhou apabila ketika ini berada di kedudukan selesa di posisi kelima dalam ranking Jejalah Dunia Akhir BWF.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan