BELANJAWAN 2025 > BERITA

Situasi Banjir Di Terengganu, Perak Bertambah Buruk, Kelantan Kembali Dilanda

22/11/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Terengganu dan Perak terus mencatatkan peningkatan, manakala Kelantan menjadi negeri terbaharu di landa banjir setakat 8 malam tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 221 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 29 orang pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan daripada jumlah itu, 32 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Balairaya Padang Kemunting dan Balairaya Beris Nenas di daerah Kemaman.

Di daerah Dungun pula, 59 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Sivik Paka, Balairaya Alor Mak Bah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah sementara di Setiu hanya seorang mangsa masih berada di Balairaya Kampung Bintang.

Sementara itu, di daerah Marang seramai 114 mangsa daripada 30 keluarga berpindah ke tiga PPS iaitu Dewan Sivik Mercang, Dewan Sivik Wakaf Tapai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai manakala di Besut sebanyak 15 mangsa daripada tiga keluarga berteduh Balairaya Kampung Pantai.

Di PERAK, jumlah manga banjir meningkat sedikit malam ini kepada 68 orang daripada 23 keluarga berbanding 66 orang pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama.

Menurut kenyataan Sekretariat JPBN Perak, kesemua mangsa terjejas merupakan penduduk dari Kampung Simpang Halt.

Di KELANTAN, Bachok menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas dan sebuah PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS tersebut menempatkan 30 mangsa daripada 10 keluarga.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan