BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penjawat Awam Kedah Terima Bantuan Khas Kewangan RM2,000 - Sanusi

24/11/2024 02:45 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan berjumlah RM2,000 kepada 5,376 penjawat awam di negeri ini sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembayaran bantuan ini akan dibuat secara berperingkat, dengan sebahagiannya akan disalurkan pada Mac tahun depan, manakala bakinya pada Jun 2025.

"Jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM12 juta. Kerajaan negeri menghargai komitmen penjawat awam negeri dalam memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang.

"Saya juga mengakui kesejahteraan negeri Kedah tercinta ini juga adalah atas jalinan kerjasama yang baik antara exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penjawat awam negeri khususnya Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan pegawai-pegawai Persekutuan," katanya.

Beliau mengumumkan pemberian bantuan tersenut semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga telah bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Dis ini.

"Selaras dengan pengumuman itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan untuk tujuan pembayaran gaji semua penjawat awam negeri yang menerima opsyen SSPA bermula Disember ini.

"Dengan itu, sukacita saya umumkan kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji Disember ini. Kenaikan keseluruhan adalah berjumlah RM2 juta untuk tahun ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan