BELANJAWAN 2025 > BERITA

PPP Kurangkan Beban Kerajaan, Tingkat Kecekapan Dan Produktiviti

24/11/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sinergi sektor awam dan swasta (PPP) dapat mengurangkan beban kerajaan dalam konteks pembangunan negara, di samping mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti seterusnya mempercepatkan proses pertumbuhan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim berkata antara projek-projek kerajaan yang melibatkan PPP ini adalah pembinaan-pembinaan lebuhraya di seluruh negara dan beberapa buah hospital.  

“Saya mengambil contoh Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, yang mana kerjasama antara sektor awam serta swasta telah berjaya menjimatkan kira-kira 10 tahun tempoh pembinaan, dengan jumlah penjimatan kira-kira RM157 juta,” katanya pada sesi forum Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di sini hari ini.

Azman merupakan salah seorang ahli panel pada forum yang bertajuk “Sinergi Awam Dan Swasta” yang turut di sertai oleh dua ahli panel yang lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRL Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan CEO Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata dengan dana pendeposit melebihi RM90 bilion setakat ini, TH memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dalam PPP, melalui pelaburan-pelaburan menerusi sektor-sektor utama di Malaysia.

“Cabaran utama bagi TH adalah untuk mendapatkan pelaburan yang patuh syariah, yang mana kontrak-kontrak itu perlu merangkumi syarat-syarat syariah yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa syariah TH.

“PPP memberikan banyak manfaat kepada TH dalam memberi satu pulangan yang mampan kepada pemegang-pemegang taruh TH. (Untuk TH), PPP memerlukan penstrukturan kewangan yang jelas terutamanya apabila melibatkan pelaburan yang besar,” katanya.

Sebagai sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab untuk pengurusan simpanan haji, beliau berkata TH perlu memastikan bahawa sebarang pelaburan melalui PPP tidak menjejaskan objektif utamanya bagi memberikan satu pulangan yang mampan seterusnya menggalakkan pendeposit untuk agar menyimpan di dalam TH.

Penglibatan sektor swasta di dalam pembangunan negara diterjemahkan ke dalam beberapa bentuk pencapaian, termasuk pemacuan pembangunan ekonomi, mencipta peluang-peluang pekerjaan, memacu inovasi dan pemindahan teknologi, katanya lagi.

“Pihak kerajaan pada pendapat saya, bertanggungjawab dalam menentukan polisi, dasar dan arah tuju jangka pendek serta panjang, selain memerlukan pihak swasta untuk menggerakkan ekonomi dan sektor-sektor utama dalam mencapai hasrat pembangunan ekonomi dan sosial.

“Pihak swasta pula perlu mengambil risiko-risiko pelaburan termasuk perniagaan yang tertentu dan mengharapkan penjanaan pulangan yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan