BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Bakal Bertemu Pemimpin Perniagaan "Chaebol" Korea Selatan, Tarik FDI

24/11/2024 04:56 PM

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu ahli-ahli perniagaan utama Korea Selatan atau lebih dikenali sebagai "Chaebol," dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata satu siri mesyuarat bersama tokoh-tokoh korporat utama dan ahli-ahli perniagaan syarikat gergasi negara itu akan diadakan pada hari kedua dalam lawatan rasmi selama tiga hari yang bermula hari ini.

Perdana Menteri juga akan berucap pada acara Forum Perniagaan yang dijangka dihadiri lebih 180 syarikat Korea Selatan. 

Anwar dijadualkan tiba di Seoul pada jam 10 malam ini waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022. 

Kunjungan rasmi Perdana Menteri sehingga 26 November itu juga sebagai memenuhi jemputan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

"Lawatan Perdana Menteri kali ini adalah sangat signifikan bagi mencerminkan hubungan akrab di antara Malaysia dan Korea Selatan yang akan menyambut ulang tahun ke-65 jalinan hubungan diplomatik pada tahun depan," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

 Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Yoon di Pejabat Presiden dengan perbincangan merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan selain pertahanan dan keselamatan. 

Pertemuan itu dijangka menyentuh kerjasama dalam bidang infrastruktur, transisi tenaga dan alam sekitar, bidang pertanian dan makanan, hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan dan sektor pelancongan.

Mohd Zamruni berkata kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman, antaranya dalam sektor pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.

Perdana Menteri juga akan diraikan dalam majlis makan tengah hari dihoskan oleh Yoon. 

Secara umumnya, lawatan rasmi ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan melalui persefahaman yang akan termeterai dalam banyak isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk pengukuhan inisiatif perdagangan dan pelaburan, katanya.

Anwar dan Yoon dijangka menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama yang lebih komprehensif, terutamanya dalam konteks ekonomi dan pelaburan, pertahanan, pendidikan dan pelancongan.

Lawatan itu juga menjadi wadah terbaik untuk Perdana Menteri mengetengahkan dasar luar Malaysia, terutama pendirian Malaysia terhadap isu-isu serantau dan global di pentas antarabangsa serta fokus kepada kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan selain melengkapkan jajaran lawatan rasmi beliau ke negara-negara di rantau Asia Timur.

Bagi tempoh sehingga Oktober 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM91.1 bilion (US$19.8 bilion). 

Jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan pula sebanyak RM43.95 bilion (US$9.6 bilion) manakala jumlah import Malaysia dari Korea Selatan adalah RM47.1 bilion (US$10.3 bilion) pada tahun ini.

"Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia manakala Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan.

“Selain itu, jumlah pelaburan pula mencecah RM61 bilion dengan 616 projek," katanya.

Jadual padat Anwar akan turut menyaksikan beliau bertemu dengan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu pada satu majlis ramah mesra.

Beliau juga dijadualkan ditemuramah oleh Chosun Ilbo dan Chosun TV, akhbar dan stesen televisyen Korea Selatan yang berpengaruh pada Selasa yang dijangka menyentuh hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan, perdagangan dan pelaburan serta kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. 

Perdana Menteri juga dijangka bertemu dengan pemimpin masyarakat Islam tempatan daripada Korea Muslim Federation (KMF), sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagi badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di Korea Selatan

Selain menyantuni KMF, peluang tersebut juga turut dimanfaatkan untuk sumbangan naskhah al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea untuk kegunaan KMF. 

Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum khas bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Seoul National University (SNU) yang juga sebuah universiti tempatan terunggul di negara itu.

Syarahan itu dijangka dihadiri oleh para tetamu jemputan daripada kalangan penuntut Malaysia, tempatan dan antarabangsa, pengurusan tertinggi universiti, ahli-ahli akademik, penyelidik dan cendekiawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan