KUALA SELANGOR, 24 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Kongres Saintifik Tahunan (ASC) 2024 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini.
Ketibaan baginda disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Datuk Seri Norazman Ayob, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan Presiden College of Physicians Malaysia Datuk Seri Dr Paras Doshi.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Datuk Dr Aris Chandran Abdullah, Prof Emeritus Datuk Dr Raymond Azman Ali dan Datuk Seri Dr Azhari Rosman, manakala Anugerah Orator Datuk Dr Lim Kee Jin kepada Tan Sri Ridzwan Abu Bakar, sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang perubatan, pendidikan dan pembangunan penjagaan kesihatan.
Dr Paras dalam ucapannya berkata tema ASC 2024 iaitu “Navigating Complexities in Medicine” mencerminkan komitmen pengamal penjagaan kesihatan di seluruh dunia terhadap inovasi dan pembelajaran yang berterusan demi kemajuan bidang terbabit.
“Ia merupakan bukti terhadap usaha gigih doktor, pakar dan penyelidik kita, bahawa menerusi kerja keras mereka berjaya meningkatkan penjagaan pesakit dan landskap kesihatan di Malaysia serta di seluruh rantau ini.
“Ia juga menekankan betapa semakin rumit dan sukar untuk dibezakan keadaan pesakit,” katanya.
ASC 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama College of Physicians Malaysia dan Jabatan Perubatan HASA UiTM selama tiga hari dan berakhir hari ini, menghimpunkan 300 peserta termasuk antarabangsa.
Mesyuarat Presiden Kolej Perubatan dari seluruh dunia dan Persekutuan Perubatan Dalaman ASEAN (AFIM) turut berlangsung semasa persidangan itu.
Selain perbincangan dan pertukaran idea, ASC 2024 turut menampilkan Piala Doktor Khoo Kah Lin 2024, satu pertandingan antara lapan pasukan yang bersaing merebut juara kuiz berasaskan perubatan dalaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial