BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sanusi Hargai Belanjawan 2025 Kerajaan Pusat Sentuh Manfaat Kepada Kedah

24/11/2024 05:12 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman peruntukan Belanjawan 2025 yang turut menyentuh manfaat kepada negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lepas, telah mengumumkan peruntukan projek-projek baharu yang akan diselaraskan mengikut keutamaan negeri.

"Alhamdulillah bagi negeri Kedah, dua projek pembangunan di daerah Kulim telah disenaraikan iaitu pembesaran kawasan Kulim Hi-Tech Park yang menempatkan syarikat semikonduktor dari seluruh dunia dan pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Katanya selain itu, Kedah juga akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan infrastruktur iaitu pembinaan jejambat (jalan raya bertingkat) melintasi Pekan Changloon.

"Selain itu projek menaik taraf jalan di persimpangan Jalan Langgar ke persimpangan Kepala Batas dan projek pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Semeling," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bantuan banjir sebanyak RM13 juta melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU).  

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM3 juta dikhaskan untuk pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir di daerah Kota Setar," katanya.

Katanya Kedah berhadapan dengan tiga fasa bencana banjir bermula 17 September hingga 16 Oktober lepas.   

"Bencana ini telah membawa impak yang besar kepada rakyat dan ekonomi negeri, merosakkan infrastruktur, tanaman padi, tanah pertanian serta menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Menurutnya kerugian akibat bencana banjir di negeri ini dianggarkan RM12 juta.

Katanya lagi,  sebanyak 114 kawasan ‘hotspot’ banjir telah dikenal pasti di seluruh negeri, dan kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan