BELANJAWAN 2025 > BERITA

RM2.1 Juta Kutipan Saman PDRM Dicatat Pada Hari Pertama 2TM

24/11/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kutipan saman bernilai RM2.1 juta pada hari pertama penawaran diskaun 60 peratus sempena penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM). 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Persekutuan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 24,400 saman telah diselesaikan semalam.

“Tiga saman paling banyak dibayar ialah kesalahan halangan lalu lintas, mengabaikan isyarat lalu lintas dan pandu laju,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Yusri turut menyeru orang ramai untuk memanfaatkan pilihan membayar saman secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar PDRM atau laman web https://mybayar.rmp.gov.my/en/main.

“Orang ramai tidak perlu beratur panjang dan hanya perlu menerima kupon kod QR daripada pegawai trafik yang ditempatkan di sepanjang barisan untuk ke kaunter semakan dan bayaran saman trafik di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, juga telah melawat kaunter awal hari ini dan berinteraksi mesra dengan orang ramai. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah mencadangkan agar tawaran diskaun ini dilanjutkan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata pengunjung gembira dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan MADANI atas diskaun dan kemudahan yang ditawarkan pada program 2TM ini.

Semalam, Mohd Yusri dilaporkan berkata pada kempen kali ini pihaknya telah membuat persiapan teliti untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung, dengan menyediakan 25 kaunter semakan dan bayaran saman termasuk tujuh kaunter khas dan 21 mesin e-payment, serta 520 kerusi untuk orang ramai menunggu.

Kaunter semakan dan pembayaran saman antara menjadi tarikan pengunjung pada hari kedua Program 2TM yang bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan