IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan perlu memperluas program kefahaman dan pendidikan politik kepada anak muda bagi memastikan mereka tidak terperangkap dengan isu perkauman sempit yang sering dimainkan pihak pembangkang dalam meraih sokongan.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata perkara berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana 40 peratus daripada keseluruhan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan terdiri daripada anak muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Kumpulan umur ini wajar didekati dan diberikan kefahaman serta pendidikan politik supaya mereka lebih memahami realiti kepelbagaian kaum dan proses asimilasi dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Program Podcast Sembang Anak MADANI di Pejabat PKR Perak, malam tadi.
Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapan penggulungan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Perak, bersetuju bahawa Perak perlu menyuburkan program pengkaderan dan pemahaman politik, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Saarani berkata langkah ini penting bagi memastikan golongan muda benar-benar memahami dasar kerajaan dan peranan penting BN dalam mencorakkan masa depan negeri dan negara.
Shamsul Iskandar turut mengingatkan bahawa usaha memberi kefahaman dan pendidikan politik harus segera dilaksanakan, memandangkan tempoh masa menuju PRU16 semakin dekat.
“Masa untuk berehat sudah tamat. Kini adalah masa untuk bekerja lebih keras, dan gagasan Malaysia MADANI yang telah diwujudkan perlu dipaparkan, dengan elemen kekuatannya terletak pada kepelbagaian kaum,” katanya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan akan terus diperkukuhkan melalui pelbagai aktiviti dan program bersama.
“Hubungan ini semakin erat, dan Konvensyen Perpaduan yang diilhamkan oleh Kerajaan Perpaduan di Perak merupakan bukti nyata kebersamaan antara PH dan BN, demi rakyat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial