BELANJAWAN 2025 > BERITA

12 Kertas Siasatan Terhadap GISBH Di Negeri Sembilan Dibuka - Aminuddin

25/11/2024 03:09 PM

SEREMBAN, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak tujuh daripada 12 kertas siasatan berhubung syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Negeri Sembilan telah didakwa di mahkamah, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata lima lagi kertas siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara, dan pihak berkuasa akan terus memantau serta mengambil tindakan kesalahan pelanggaran undang-undang dilakukan GISBH dan syarikat berkaitan.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah mengambil tindakan penutupan terhadap dua madrasah di Ulu Beting, Kuala Pilah dan Kampung Senama, Rembau yang dipercayai terlibat dengan ajaran salah.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kita telah mengambil tindakan penutupan di bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 terhadap madrasah terbabit, pengerusi, mudir dan timbalan mudir madrasah telah didakwa pada bulan ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) berhubung tindakan diambil oleh kerajaan negeri berkaitan GISBH, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri itu berkata program pemulihan akidah atau rehabilitasi telah dilaksanakan secara sukarela kepada ahli GISBH yang ingin menyertai program itu bermula 15 Okt lepas.

Aminuddin berkata penyelaras program berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negeri, Negeri Sembilan (MKN) mengunakan modul disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JHEAINS yang bertanggungjawab sebagai urus setia pendaftaran bagi membantu memulihkan golongan terbabit.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah membawa isu GISBH dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 27 hingga 29 Sept lepas serta memutuskan bahawa ajaran GISBH sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa’ mengenai Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan.

“Muzakarah juga menegaskan bahawa ajaran al-Arqam yang diwartakan pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan terhadap sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam atau seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan