BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hasil Eksport Koko Malaysia Melebihi RM8 Bilion Setakat Ogos 2024 - Chan

25/11/2024 06:22 PM

KAJANG, 25 Nov (Bernama) -- Industri koko Malaysia telah mencatatkan jumlah hasil eksport sebanyak RM8.87 bilion setakat Ogos 2024, mewakili 98 peratus daripada sasaran RM9 bilion bagi tahun itu, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Chan menekankan bahawa kejayaan ini adalah disebabkan oleh sumbangan penting daripada produk koko separuh siap seperti mentega koko, serbuk koko dan produk coklat.

Pencapaian itu juga menggariskan kepentingan berterusan komoditi koko sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, yang telah memberikan sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar, katanya lagi.

“Pada masa ini, industri koko menarik minat petani serta perladangan koko apabila harga biji koko melonjak sehingga tiga kali ganda iaitu antara RM18 sekilogram dan RM23 sekilogram, selain permintaan terhadap biji koko terus bertambah. .

“Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang menjalankan usaha untuk meningkatkan pengeluaran biji tempatan melalui program menggiatkan semula ladang koko, kawasan penanaman koko baharu termasuk penggunaan teknologi moden dalam menguruskan ladang koko,” tambahnya. 

Chan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan “Single Estate Kota Marudu Chocolate” oleh Benns Ethicoa Chocolate Factory Sdn Bhd di kilang pengeluarannya dekat sini hari ini.

Benns Ethicoa telah bekerjasama dengan LKM untuk mendapatkan biji koko yang dihasilkan oleh petani koko tempatan Sabah, Poimon Dangkat, 62, di ladang koko seluas dua hektar di Kota Marudu. 

Menurut Chan, kementeriannya memuji usaha pembuat coklat tempatan yang menghasilkan biji koko sumber tunggal berkualiti tinggi, yang selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeluar biji koko dan coklat premium.

“Inisiatif ini mewakili usaha bersepadu oleh LKM untuk menjadi jambatan dalam mewujudkan rangkaian bekalan biji koko, menghubungkan pengeluar biji koko dengan pengguna.

“Oleh itu, saya amat menggalakkan pengembangan berterusan usaha ini untuk mengukuhkan lagi pembangunan industri koko negara, khususnya dengan melibatkan syarikat swasta seperti Benns, yang terus komited dalam menyokong petani koko,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan