KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Setiu, Terengganu awal pagi tadi, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menghadiri majlis konvokesyen anak mereka di Universiti Antarabangsa UNITAR di Putrajaya.
Yusnani Che Soh, 50, iaitu adik ipar kepada seorang daripada mangsa, Kamaruddin Ibrahim, 55, berkata keluarga itu dipercayai bertolak pulang malam tadi selepas majlis konvokesyen anak bongsu mereka, Nur Azwa Shamimi, 21.
Yusnani berkata dia hanya mengetahui mengenai insiden tragis itu selepas dihubungi pihak polis hari ini.
“Apa yang saya diberitahu abang ipar dan isterinya Maimunah Che Mat, 54, serta anak kedua mereka Nur Ardieana, 30, maut dalam kemalangan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mangsa di Kampung Telipot di sini hari ini.
Dia berkata Nur Azwa Shamimi pula mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di Hospital Setiu, Terengganu.
Yusnani berkata Nur Azwa Shamimi adalah pelajar UNITAR di Kota Bharu dan ditemani ibu bapa serta kakaknya ke Putrajaya bagi menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.
“Suami saya telah bertolak ke Setiu bagi urusan membawa pulang ketiga-tiga jenazah dan melihat keadaan anak saudaranya yang dirawat di hospital,” katanya.
Tambahnya ketiga-tiga jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maras, Lundang di sini malam ini.
Dalam kemalangan awal pagi tadi, tiga beranak dilaporkan maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Mohd Zain Mat Dris dilapor berkata mereka yang terkorban dalam kemalangan pada 4.50 pagi itu ialah pasangan suami isteri Kamarudin dan Maimunah serta anak mereka Nur Ardieana yang memandu kenderaan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial