BELANJAWAN 2025 > BERITA

'Kemajuan Ketara' Dalam Usaha Gencatan Senjata Israel-Hizbullah – Rumah Putih

26/11/2024 10:45 AM

WASHINGTON, 26 Nov (Bernama-AA) -- Rumah Putih memaklumkan bahawa terdapat “kemajuan ketara” dalam usaha mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah Lubnan, namun masih ada perkara yang perlu diselesaikan sebelum perjanjian dapat dimeterai, lapor Agensi Anadolu.

“Kami jelas telah mencapai kemajuan ketara namun, ia masih belum selesai

“Kami terus berusaha untuk mencapai penyelesaian diplomatik bagi memastikan orang awam di kedua-dua belah Blue Line dapat kembali ke kediaman mereka dengan selamat,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara merujuk kepada sempadan de facto antara Israel dan Lubnan.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa laporan media Israel mencadangkan bahawa perjanjian gencatan senjata dijangka diumumkan dalam tempoh dua hari.

Penyiar awam Israel, KAN memetik sumber Israel, melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah bersetuju dengan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dengan Lubnan.

Laporan itu susulan kenyataan oleh utusan AS, Amos Hochstein pada Ahad yang mengancam untuk menarik diri daripada usaha damai sekiranya Tel Aviv tidak menerima cadangan Amerika Syarikat bagi perjanjian gencatan senjata.

Israel meningkatkan serangan udaranya di Lubnan sebagai sebahagian daripada konflik berlarutan selama setahun dengan kumpulan Hizbullah sejak tercetusnya perang Gaza tahun lalu.

Lebih 3,600 orang terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan, manakala lebih 15,300 cedera dan lebih sejuta lagi hilang tempat tinggal sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Pada 1 Okt, Israel bertindak memperluaskan konflik dengan melancarkan pencerobohan darat ke selatan Lubnan.

-- BERNAMA-AA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan