BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Minta Korea Selatan Segerakan Proses Perolehan Pesawat FA-50M

26/11/2024 05:39 PM

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia meminta proses perolehan 18 pesawat pejuang FA-50M buatan Korea Selatan yang dijadual diterima pada 2026 disegerakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita meminta disegerakan (proses) pembelian yang beberapa tahun lalu diputuskan (iaitu) 18 unit pesawat FA-50M, yang sepatutnya sampai pada 2026.

“Kalau boleh dipercepatkan,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Anwar mengakhiri lawatan tiga hari ke Korea Selatan selepas menerima jemputan Presiden Yoon Suk Yeol.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan butiran rundingan untuk mempercepatkan proses perolehan berkenaan.

Pada September lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengeluar pesawat pejuang berkenaan, Korea Aerospace Industries (KAI) dan syarikat Hanwha Aerospace telah mencapai tahap 38 peratus pembinaan pesawat itu.

Pembelian 18 pesawat FA-50M dibuat pada tahun lepas manakala perolehan bagi pesawat berkenaan dimuktamadkan pada Mei 2023 dengan kontrak bernilai hampir RM4 bilion, bertujuan memperkasakan ketumbukan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang angkasa negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan