BELANJAWAN 2025 > BERITA

Naib Presiden Filipina Disepina Berkenaan Ancaman Terhadap Presiden Marcos Jr

26/11/2024 06:32 PM

MANILA, 26 Nov (Bernama-dpa) -- Penyiasat Filipina pada Selasa memanggil Naib Presiden Sara Duterte memberi keterangan mengenai ancamannya untuk membunuh Presiden Ferdinand Marcos Jr jika beliau sendiri dibunuh, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Biro Penyiasatan Nasional menyerahkan sepina di pejabat Duterte dan meminta agar beliau hadir di hadapan pengarah biro pada Jumaat.

Sepina itu menyatakan yang Duterte dipanggil "untuk memberikan penjelasan mengenai siasatan berhubung ancaman berat yang didakwa di bawah (Akta Pencegahan Jenayah Siber) dan kemungkinan pelanggaran (Akta Antikeganasan)."

Pada Sabtu, Duterte berkata beliau telah bercakap dengan seseorang yang bersetuju untuk membunuh Marcos, wanita pertama dan speaker Dewan Rakyat, yang merupakan sepupu presiden, sekiranya beliau dibunuh.

Dalam satu kenyataan sebelum sepina dikeluarkan terhadapnya, timbalan presiden berkata kenyataannya itu "diambil di luar konteks logiknya."

"Desakan pentadbiran Marcos bahawa nyawa presiden berada di bawah ancaman aktif adalah menakutkan," katanya.

"Tidak ada bukti nyata dan walaupun tanpa siasatan yang boleh dipercayai, pihak berkuasa pula dengan cepat menganggap ini sebagai isu keselamatan negara."

"Akal sehat seharusnya mencukupi untuk kita memahami dan menerima bahawa tindakan balas dendam yang bersifat bersyarat tidak seharusnya dianggap sebagai...ancaman aktif," tambahnya.

"Ini adalah (rancangan) tanpa...asas. Saya yakin siasatan yang jujur akan dengan mudah mendedahkan naratif ini sebagai gurauan, rekaan atau tidak ada apa-apa langsung."

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan