BELANJAWAN 2025 > BERITA

Caj Hospital Swasta Meningkat, KKM Akan Bawa Pendekatan Perkhidmatan Berasaskan Nilai

26/11/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan membawa pendekatan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai bagi menangani isu caj hospital swasta yang dilaporkan semakin meningkat.

Beliau berkata di bawah pendekatan itu pesakit membayar berdasarkan kualiti perkhidmatan berbanding pendekatan fee-for-service yang mengenakan caj terhadap perkhidmatan yang diberikan.

"Kalau fee-for-service bermakna jika seseorang itu mempunyai insurans, datang dengan apa pun penyakitnya selama ia (hospital) boleh mengenakan pelbagai ujian, prosedur dan sebagainya, maka itulah jumlah (bayaran) yang akan dikenakan.

“Perkhidmatan kesihatan berdasarkan nilai…contohnya dia pesakit hernia kalau hospital itu cekap, efisien, maka ia (hospital) akan mengenakan bayaran hanya kepada satu prosedur yang namanya herniorrhaphy,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Isu peningkatan caj hospital dan insurans perubatan yang melambung tinggi dibangkitkan beberapa ahli Parlimen yang meminta KKM untuk mengawal perkara berkenaan.

Dzulkefly berkata di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), KKM hanya berkuasa mengawal yuran konsultasi yang dikenakan pakar perubatan tetapi tidak berkuasa untuk menentukan caj lain yang dikenakan pengendali hospital swasta.

Terdahulu, pada awal penggulungannya Dzulkefly sebak ketika menyentuh isu dibangkitkan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai terdapat pesakit yang meninggal dunia kerana terbeban dengan kos rawatan kesihatan dan pengangkutan untuk berulang alik ke hospital.

"Saya teringat akan mantera atau prinsip leave no one left behind (tiada siapa yang tertinggal) untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC). Adalah menjadi cita-cita setiap menteri kesihatan untuk mengangkat prinsip ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan