BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Sasar Tanam Semula Sawit 77,000 Hektar Pada 2025-2029 - KPK

26/11/2024 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan penanaman semula sawit seluas 77,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang (2025-2029) menerusi pelaksanaan program penanaman semula terutama dalam kalangan pekebun kecil bagi memastikan sektor sawit sentiasa mampan dan berdaya saing. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata inisiatif lain yang dilaksanakan adalah meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan tanaman sawit berhasil tinggi melalui teknik kultur tisu dan pengeluaran benih secara konvensional bagi memenuhi permintaan penanaman.

“Kini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah melancarkan tiga klon komersial iaitu Clonal Palm Series 1 (CPS1), CPS2 dan CPS3 bagi meningkatkan hasil dan produktiviti. 

"Selain itu, memudah cara penerimagunaan teknologi automasi, mekanisasi, dan Revolusi Industri Keempat bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai pelan strategik jangka panjang kementerian dalam aspek peremajaan sektor agrikomoditi terutama getah dan sawit.

Menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kesediaan ekosistem tempatan terhadap teknologi pertanian pintar, KPK berkata MPOB bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui program AgriNXT untuk menyediakan jalan penyelesaian digital bagi industri sawit.

"Melalui usaha ini diharapkan penerimaan teknologi pertanian pintar dapat dipertingkatkan sekali gus memperbaiki keberkesanan pengurusan ladang sawit dan meningkatkan pengeluaran hasil sawit negara,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan