BELANJAWAN 2025 > BERITA

SOP Perbaiki Jalan Berlubang Dalam Tempoh 24 Jam Perlu Diikuti Negeri, Perbandaran

26/11/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) meminta agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) membaiki jalan berlubang bagi Jalan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata SOP yang ditetapkan bagi membaiki Jalan Persekutuan berlubang ialah dalam tempoh 24 jam.

"Harapan kita supaya rakyat tidak mendapat kemudaratan sebagaimana berlaku di Johor, ada orang menyaman satu konsesi bandaran kerana kecederaan di kepala, badan, tangan dan kaki apabila motosikalnya terlanggar lubang.

"Konsesi itu diarah oleh mahkamah untuk membayar. Itu menjadi ingatan kepada kita untuk menjaga jalan di seluruh negeri dengan cepat, cermat dan tepat," katanya ketika berucap pada Malam Media KKR dan Anugerah Media Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2024 di sini malam ini.

Pada April lepas, media melaporkan seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang di Pasir Gudang, Johor tiga tahun lepas memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuat syarikat penyelenggaraan jalan.

Ia selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 28 Feb telah memerintahkan syarikat yang dilantik kerajaan negeri itu membayar kos berkenaan kepada Razali @ Mohd Leey Subeh, 49.

Berikutan keputusan hakim, syarikat penyelenggaraan itu dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan