BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRR Harmoni Madani, Bestari Jaya Akan Dibina Awal 2025

27/11/2024 12:49 PM

SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI di Bestari Jaya, Kuala Selangor dijangka dilaksanakan pada awal tahun hadapan dengan tempoh siap selama dua tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata buat masa ini, status pembinaan 245 unit rumah itu telah mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 28 Okt lepas, tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) selaku agensi pelaksana dengan proses kelulusan pelan bangunan akan dikemukakan permohonan oleh mereka kelak.

"Cadangan pembangunan PRR Harmoni MADANI ini melibatkan pembangunan 245 unit komponen rumah teres satu tingkat yang mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air dengan cadangan keluasan lot iaitu 20 kaki x 60 kaki. 

"Bagaimanapun, cadangan reka bentuk kediaman itu akan dimuktamadkan setelah mendapat kelulusan pelan bangunan daripada MPKS manakala harga jualan seunit PRR yang ditetapkan ialah RM45,000 kepada bekas pekerja ladang yang telah diperakukan," katanya dalam jawapan yang dibacakan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim pada sesi pertanyaan lisan di sini hari ini.

Borhan menjawab soalan Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Bharu) berhubung status pembinaan 245 unit rumah PRR bagi pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya melibatkan Ladang Minyak, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Nigel Garder dan Ladang Bukit Tagar.

Katanya, pembinaan rumah berkenaan telah dipersetujui secara bersama oleh kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kos keseluruhan pembangunan sebanyak RM75 juta.  

"Hal ini selaras dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-13/2024 bertarikh 10 Mei 2024 yang telah bersetuju secara dasarnya dengan cadangan penyelesaian Rumah Kediaman Bekas Pekerja Ladang Berjaya City dengan peruntukan RM75 juta melalui peruntukan KPKT sebanyak RM40 juta dan kerajaan Selangor berjumlah RM35 juta," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 3 Mei lepas dilaporkan berkata masalah perumahan yang membelenggu 245 keluarga melibatkan lima ladang di Bestari Jaya sejak berdekad lepas bakal diselesaikan dalam masa terdekat susulan kerajaan akan mengumumkan berita baik berhubung pekerja ladang itu yang diusir tanpa rumah untuk didiami.

Tiga hari selepas itu, Nga mengumumkan pembinaan projek terbabit bagi menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi keluarga peneroka estet getah itu, dibina di atas tanah seluas 8.09 hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, dekat sini melalui kerjasama kerajaan Selangor dan Berjaya Corporation Berhad yang menyediakan tanah secara percuma.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan