KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Penolong Pengarah Seksyen Perhubungan Antarabangsa Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Khairul Azli Rahim meninggal dunia pada usia 45 tahun akibat pendarahan otak.
Allahyarham yang mesra disapa Kerol dalam kalangan kenalannya, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5.16 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital pada 25 Nov lepas.
Berita kematian bekas editor Berita RTM itu disahkan oleh anak saudaranya Mohd Fazrudi Mohd Rohdzi ketika dihubungi Bernama.
Menurut Mohd Fazrudi, jenazah Khairul Azli akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.
“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Alor Pak Ngah, Alor Setar sebelum dikebumikan pada tengah hari esok di Tanah Perkuburan Islam Tualang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya berdukacita dengan berita kehilangan seorang lagi pengamal media yang amat berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugasan.
Beliau menyifatkan Allahyarham yang pernah bertugas di bilik berita TV sebagai wartawan dan editor yang telah berkhidmat dengan cemerlang di samping sangat disenangi oleh rakan sekerja.
"Saya doakan agar seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham dikurniakan kesabaran dan ketabahan berdepan kehilangan ini.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial