KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pelbagai isu yang relevan dengan alam sekitar dan kelestarian telah dibincang serta disemak semula selain kemajuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE), yang bermesyuarat semalam.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran Singapura (MSE) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (NRES) memaklumkan antara isu yang disentuh ialah kawalan pelepasan asap kenderaan yang menyaksikan kedua-dua menteri bersetuju untuk terus bertukar maklumat mengenai dasar tersebut secara berkala selain menjalin kerjasama erat untuk meningkatkan kualiti udara di kedua-dua negara.
"Kedua-dua menteri juga menyedari kepentingan untuk mengekalkan kualiti air yang baik di Selat Johor dan komited untuk meneruskan usaha bersama bagi memantau kualitinya.
"Mereka juga menyambut baik Latihan Tumpahan Bahan Kimia ke-13 yang dilaksanakan pada 26 Julai 2023 di Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dan menekankan bahawa latihan bersama seumpamanya adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk respons yang pantas serta efisien dalam menangani insiden tumpahan bahan kimia.
"Singapura akan menganjurkan latihan tumpahan bahan kimia seterusnya pada 2025," menurut kenyataan bersama sempena Pertukaran Lawatan Tahunan Malaysia-Singapura ke-33 (MSAEV) itu.
Selain itu, kerjasama yang baik antara kedua-dua negara dalam respons terhadap insiden tumpahan minyak turut dialu-alukan dalam usaha meminimumkan kesannya terhadap alam sekitar dan biodiversiti.
Kolaborasi antara Institut Sekitaran Singapura dan Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) juga diteliti oleh kedua-dua menteri bagi pertukaran peluang latihan serta sumber dalam usaha memupuk kerjasama lebih erat selain memperkukuh kapasiti dan kesedaran untuk para pegawainya.
Selain itu, mereka bersetuju untuk terus bertukar maklumat mengenai pemantauan ekologi serta morfologi di dalam dan sekitar Selat Johor bagi memulihara biodiversiti marin di kedua-dua negara.
Kedua-dua menteri juga bertukar maklumat dan membincangkan kerja-kerja tebus guna tanah yang menjejaskan alam sekitar di Selat Johor serta potensi kesan buruk merentasi sempadannya.
"Mereka juga sepakat bahawa adalah penting bagi Singapura dan Malaysia untuk terus memenuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 dan Perjanjian Penyelesaian 2005.
"Kedua-dua menteri turut mengulangi komitmen Malaysia dan Singapura untuk memantau, bertukar maklumat dan membincangkan isu yang menjejaskan alam sekitar di Selat Johor," menurut kenyataan itu.
Baru-Baru ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad telah berkunjung ke Singapura dari 26 hingga 27 Nov bagi menghadiri MSAEV atas undangan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu.
"Sejak 1979, MSAEV telah memudahkan hubungan dan kerjasama lebih erat antara kedua-dua kementerian dalam isu berkaitan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Delegasi Malaysia, yang diketuai Nik Nazmi terdiri daripada Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim, para pegawai kanan kementerian itu, Jabatan Alam Sekitar dan agensi kerajaan lain, turut melawat Marina Barrage, Galeri Kemampanan Singapura dan Gardens by the Bay, sebagai sebahagian daripada program MSAEV.
Delegasi Singapura yang diketuai Fu pula terdiri daripada Setiausaha Tetap MSE Stanley Loh, para pegawai kanan kementerian itu, Agensi Sekitaran Negara dan agensi kerajaan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial