BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johor Perhalusi Cadangan Safari Malam Di Zoo Johor

28/11/2024 02:27 PM

ISKANDAR PUTERI, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor sedang memperhalusi cadangan untuk membuka Safari Malam di Zoo Johor berikutan sambutan baik sejak pembukaan semula zoo berkenaan pada 31 Ogos lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata terdapat banyak cadangan dan maklum balas daripada pengunjung yang mahu Safari Malam diwujudkan di Zoo Johor.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan baik dan lancar untuk naik taraf fasa dua, kita sedang pertimbang membuka Safari Malam di Zoo Johor. Bukan pada masa ini, namun insya-Allah (Safari Malam) sedang diperhalusi kerana kita mahu teliti dahulu sektor keselamatan pengunjung dan haiwan di zoo.

“Peningkatan infrastruktur termasuk pemasangan sistem pencahayaan mesra alam di kawasan zoo yang menyamai suasana waktu malam secara semula jadi tanpa mengganggu habitat haiwan, selain laluan masuk untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas perlu dilihat sebelum menjayakan cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Chong (DAP-Bekok) berhubung sambutan pengunjung Zoo Johor sejak ia dibuka semula.

Zoo Johor, yang tertua di negara ini dengan keluasan 12.5 hektar ditutup sejak 2020, sebelum dibuka semula selepas menjalani beberapa kerja naik taraf, dan ia mampu menampung kehadiran sehingga 5,000 pengunjung dalam satu masa bagi melihat secara dekat lebih 100 spesies haiwan.

Onn Hafiz berkata Zoo Johor di Jalan Gertak Merah merekodkan jumlah pengunjung seramai 500,000 sejak dibuka semula.

Beliau berkata pencapaian itu amat membanggakan, kerana produk pelancongan yang ditutup hampir empat tahun bagi tujuan penambahbaikan itu mendapat sambutan luar biasa.

“Zoo Johor dibuka dengan kerjasama banyak pihak termasuk tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang turut menyumbang dana RM9 juta.

“Tahun depan, dianggarkan 1 juta pengunjung akan melawat Zoo Johor dengan hasil disasar sebanyak RM6 juta, susulan sambutan hebat pengunjung. Oleh itu Zoo Johor dijangka mampu beroperasi dengan hasil pendapatan sendiri dengan sambutan hangat ini,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan