PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Pembudayaan amalan kecekapan tenaga dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan pelepasan karbon serta kesan perubahan iklim atau climate change terhadap negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata pembudayaan amalan kecekapan tenaga bukan sahaja dapat memberi penjimatan tenaga dan wang ringgit, malah ia juga dapat membantu untuk mengawal dan mengurangkan kesan rumah hijau kepada alam sekitar.
“Ini seterusnya berupaya membantu mengekalkan kelestarian sumber-sumber tenaga yang semakin berkurangan untuk generasi masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Energy Efficiency Challenge 2024 di sini, hari ini.
Anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST), pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga atau Energy Efficiency Challenge (EE Challenge) 2024 menerima sebanyak 1,585 penyertaan di bawah semua kategori yang dipertandingkan di seluruh negara.
Tahun ini merupakan tahun ke-11 pertandingan ini diadakan sejak 2014 dan telah menjadi acara tahunan ST dalam usaha membudayakan amalan kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Fadillah berkata generasi muda merupakan ejen perubahan yang paling berkesan dan adalah amat penting untuk kesedaran mengenai kecekapan tenaga diterapkan sejak di bangku sekolah.
Beliau berkata berdasarkan analisis laporan yang dikemukakan oleh ST, sekolah yang menyertai kategori Sekolah Paling EE pada tahun ini telah mencatat penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 53,014 kWj, iaitu bersamaan dengan nilai RM28,400 berdasarkan tarif kategori B.
“Saya amat berbangga untuk mengumumkan bahawa penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan ini adalah sebanyak 1,568,025 kWj.
“Penjimatan ini bersamaan nilai RM840,446 dengan penghindaran karbon sebanyak 1,207 tan CO2. Hasil penjimatan terkumpul ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama tempoh 10 tahun,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Abdul Razib Dawood berkata harapan ST ialah amalan kecekapan tenaga ini dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian, walaupun selepas pertandingan ini berakhir.
“Ini bagi memastikan kita melahirkan genarasi yang cakna akan kelestarian alam sekitar. Jadikan ilmu dan panduan kecekapan tenaga yang anak-anak pelajari daripada penyertaan pertandingan ini sebagai amalan di rumah atau di sekolah.
“Ibu bapa dan penjaga juga boleh menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak dalam menggunakan tenaga elektrik dengan cekap,” katanya.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan tahun ini, iaitu #Poster-Drawingchallenge, Story-telling challenge, Video EE Paling Kreatif dan Sekolah Paling EE.
Bagi kategori Sekolah Paling EE, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal sekali lagi membuktikan komitmen terhadap kelestarian apabila menyertai pertandingan EE Challenge buat kali kedua.
Usaha ini diterajui oleh Pengetua Mohd Nordin Abdul Majid yang menyifatkan penyertaan kali ini sebagai peluang untuk memberi inspirasi baharu kepada sekolah.
Beliau berkata inisiatif ini disambut dengan sokongan padu daripada guru-guru serta seluruh warga sekolah.
“Antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan penggunaan elektrik adalah dengan mengoptimumkan penggunaan penyaman udara. Kita tahu penggunaannya merupakan antara faktor utama penggunaan elektrik, sama ada di sekolah, pejabat mahupun rumah, jadi di sekolah kami telah menetapkan suhu standard 25 darjah Celsius dengan mod automatik bagi penyaman udara.
“Langkah kecil ini ternyata memberikan impak besar apabila penurunan penggunaan elektrik dapat dilihat dengan jelas, sekali gus menjadi bukti kejayaan usaha bersama,” katanya sambil berkata SMK Kijal membawa pulang plak, wang tunai RM12,000 serta sijil pencapaian.
Bagi kategori Story-telling challenge, Aira Marlya Shamsul Ariff, 11, daripada SM(P) Methodist 1, Melaka, dinobatkan pemenang tempat pertama dan membawa pulang tablet, wang tunai RM1,500 serta sijil pencapaian.
Aira menyampaikan kisah seorang anak kecil bernama Sarah yang menyedari rumahnya sering membazirkan elektrik dan beliau bertekad untuk menjadi seorang ‘hero’ dalam menjimatkan tenaga, sambil mengajar orang lain tentang kepentingan tidak membazirkan tenaga elektrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial