BELANJAWAN 2025 > BERITA

Industri Francais Catat Potensi Pelaburan Rm911 Juta Sehingga November 2024

28/11/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Industri francais negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan merekodkan potensi pelaburan melebihi RM911 juta sehingga November 2024, menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Timbalan Menterinya Datuk Seri R Ramanan berkata ia meningkat berbanding RM700 juta yang dicatatkan pada tahun lepas.

“Bagi tahun lepas, potensi pelaburan lebih daripada RM700 juta. Dan pada tahun ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat Francais (LPF) Bilangan 1/2024 hari ini.

Beliau berkata sejak pemusatan fungsi francais dipindahkan ke KUSKOP dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan KUSKOP untuk meningkatkan industri francais negara.

Antara usaha itu melibatkan Lembaga Penasihat Francais yang berfungsi memastikan pandangan holistik dan strategik diambil kira dalam membuat keputusan dan serta sebagai penghubung antara pihak industri dan kementerian itu dalam mencadangkan dasar dan hala tuju strategik pembangunan industri francais.

Tujuan utama penubuhan Lembaga ini adalah untuk menasihati Menteri dan Pendaftar mengenai perkara-perkara berkaitan francais, termasuk penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

“Lembaga ini dianggotai oleh 15 ahli, termasuk Timbalan Menteri KUSKOP sebagai Pengerusi. Ahli-ahli Lembaga terdiri daripada individu-individu yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan francais,” katanya.

Pada mesyuarat itu juga sebanyak tiga kertas pembentangan telah dikemukakan oleh pihak Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang membincangkan inisiatif baharu untuk memperkukuhkan sistem pendaftaran, menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan francais, serta meningkatkan keberkesanan ekosistem francais secara keseluruhan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan