BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Sandang Semula Kepengerusian Sistem Statistik Komuniti ASEAN Untuk 2025

28/11/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia secara rasmi kembali menggalas kepengerusian Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS) bagi tahun 2025 selepas sedekad, setelah kejayaan mengetuai ACSS pada tahun 2015. 

Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam merancakkan kerjasama sistem statistik serantau.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Sesi Ke-14 Jawatan kuasa ACSS (ACSS14) yang berlangsung di Vientiane, Laos, dari 26 hingga 28 Nov, 2024 anjuran Biro Statistik Laos.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Ketua Perangkawan Laos, Phonesaly Souksavath dan dipengerusikan bersama Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata dalam satu kenyataan hari ini, sebagai Pengerusi ACSS 2025,  Malaysia akan memberi tumpuan usaha kepada peneraju agenda strategik ACSS khususnya dalam memperkukuh kapasiti statistik ASEAN, menyokong penggubalan dasar berasaskan data serta memacu inisiatif ke arah integrasi serantau yang lebih mampan dan inklusif.

Kenyataan itu berkata DOSM terus menunjukkan komitmen teguhnya dalam memperkukuh kerjasama statistik serantau dengan menerajui bersama Sekretariat ASEAN (ASEANstats), Filipina dan Indonesia dalam beberapa inisiatif utama ASEAN.

Inisiatif ini katanya, merangkumi Pelan Tindakan ACSS 2026 hingga 2030 dan Petunjuk Prestasi Utama yang berkaitan, Buku Panduan untuk Analisis Cermin Statistik Perdagangan Barangan dan Senarai Keutamaan Tahunan ASEAN untuk 2025.

"Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memperkukuh hala tuju strategik statistik ASEAN, memacu integrasi serantau melalui sistem data yang lebih kukuh serta menyediakan panduan yang jelas untuk meningkatkan ketepatan dan konsistensi data di seluruh rantau ASEAN," katanya.

Menurutnya, di bawah Rangka Kerja ASEAN-Help-ASEAN untuk Pembinaan Kapasiti ACSS, DOSM memainkan peranan aktif dengan menyumbang kepakaran dalam enam program latihan.

"Selain itu, DOSM turut memperkukuh pengetahuan dan kemahiran melalui penyertaan dalam 17 program latihan yang dianjurkan dengan kerjasama ASEANstats.

"Hasil daripada penyertaan ini, manfaat dan pengetahuan yang diperoleh dikongsi bersama Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS), sejajar dengan semangat kerjasama serantau," katanya.

DOSM juga berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Sistem Akaun Negara (WGSNA) selama dua penggal berturut-turut dari 2021 hingga 2024 dan membentangkan kemajuan inisiatif penyelarasan data.

Jabatan itu juga berkongsi pengalamannya dalam National Data Governance, Data Stewardship and Data Integration dalam menekankan komitmennya terhadap pembangunan ekosistem data yang kukuh di seluruh rantau ASEAN.

ACSS14 menghimpunkan 35 peserta termasuk Ketua Statistik Negara dan focal point ACSS-SCPC daripada semua 10 AMS dan Timor-Leste, bersama wakil daripada organisasi antarabangsa untuk menekankan peranan penting rakan kongsi pembangunan dalam menyokong misi ACSS, terutamanya dalam mengukuhkan rangka kerja institusinya, meningkatkan perbandingan data untuk integrasi ASEAN serta menangani jurang kapasiti statistik dalam kalangan AMS.

Dalam pada itu, Mohd Uzir meluahkan rasa teruja dan berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran semua delegasi ke Malaysia pada tahun hadapan bersempena dengan kepengerusian Malaysia bagi ACSS15.

Beliau menggesa semua AMS mengambil bahagian secara aktif kerana penglibatan amat penting dalam merealisasikan matlamat bersama.

Menurut DOSM, pada tahun hadapan dunia akan tertumpu kepada Malaysia apabila menggalas tanggungjawab kepengerusian ASEAN.

Justeru, katanya, Malaysia bakal memainkan peranan penting yang akan merancakkan kerjasama serantau dan global dalam pelbagai dimensi termasuk ekonomi, kewangan, perdagangan, pertahanan, keselamatan, sosial, kesihatan, pendidikan, pelancongan, statistik, alam sekitar dan lain-lain.

"Dalam hubungan ini, DOSM dan semua agensi statistik di negara ASEAN serta negara lain di dunia memainkan peranan yang penting bagi menyediakan data, statistik dan maklumat yang diperlukan untuk keputusan utama di peringkat nasional dan antarabangsa oleh kerajaan, pelabur, peniaga, agensi penarafan antarabangsa, ahli akademik, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ADB dan lain-lain," katanya.

Menurut DOSM, di peringkat dunia, Suruhanjaya Statistik UN yang bersidang setiap tahun memainkan peranan penting dalam memberi pandu arah dan rangka kerja sistem statistik rasmi bagi membolehkan metodologi, konsep, definisi, manual dan lain-lain yang diguna dalam statistik rasmi di setiap negara memenuhi piawaian antarabangsa.

Katanya, keberadaan perkhidmatan statistik yang teguh dapat menyediakan statistik yang komprehensif dalam membuat keputusan yang tepat di peringkat nasional dan global.

ACSS berfungsi sebagai badan penggubal dasar dan penyelaras tertinggi bagi statistik ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 2011, menggantikan Mesyuarat Ketua Pejabat Statistik ASEAN (AHSOM), yang telah bersidang sejak tahun 1997.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan