BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kepengerusian ASEAN Malaysia: MOTAC Anjur Taklimat Media Bagi Komuniti Sosiobudaya

28/11/2024 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menganjurkan sesi taklimat media bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) sebagai persediaan  Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun depan.

Taklimat yang berlangsung kira-kira sejam itu dihadiri lebih 50 pengamal media dan editor daripada pelbagai agensi media tempatan dan antarabangsa.

MOTAC merupakan ketua penyelaras bagi tunjang ASCC meliputi 15 badan sektoral merentas pelbagai kementerian. 

Dalam taklimat berkenaan, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman berkata 84 mesyuarat dan program telah dirancang di bawah tunjang ASCC tahun depan melibatkan kepelbagaian sektor termasuk budaya dan seni, informasi, belia, pendidikan, pengurusan bencana, kebajikan sosial, hak wanita dan kanak-kanak, pembangunan luar bandar, kemiskinan, sukan, wanita dan gender, buruh, perkhidmatan awam, kesihatan, persekitaran dan jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata fokus bidang utama bagi ASCC termasuk seni dan budaya, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, belia dan sukan, kesihatan serta perubahan iklim.

“Ini adalah gabungan mesyuarat peringkat menteri, mesyuarat pegawai kanan, mesyuarat kumpulan kerja serta persidangan dan program-program lain. Di bawah Kementerian Belia dan Sukan kita ada 16 program, MOTAC (14), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (10) dan Kementerian Kesihatan (lapan).

"Kementerian dan agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi yang akan mempunyai tujuh program di bawah ASCC, Kementerian Perpaduan (tujuh), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (lima) dan Kementerian Komunikasi (lima)," katanya.

Roslan berkata antara mesyuarat berkenaan termasuk Jawatankuasa Pegawai Kanan bagi Retreat ASCC (SOCA) pada Mac, Mesyuarat Kumpulan Kerja Ad Hoc ASCC pada April dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Kelapan Mengenai Budaya Pencegahan pada September.

Selain itu, beliau berkata media akan dicaknakan mengenai program-program yang akan diadakan oleh pelbagai kementerian di bawah ASCC bagi memastikan inisiatif ASEAN disampaikan kepada peringkat akar umbi.

Malaysia akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 1 Jan, 2025 bertemakan "Inklusiviti dan Kelestarian" dan menganjurkan lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan