BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mekanisme IBR Pacu Kecekapan, Pemodenan Sektor Tenaga

29/11/2024 11:44 AM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), satu transformasi berani bagi sektor tenaga Malaysia, merupakan rangka kerja digunapakai pihak pengawal selia bagi menentukan kos serta pemulihan bagi bekalan dan perkhidmatan tenaga elektrik.

Ini termasuk penetapan insentif untuk menambah baik kecekapan serta menyediakan tahap perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan.

Dorongan kecekapan itu juga sejajar dengan sasaran penjimatan tenaga dan pelepasan karbon rendah di seluruh sektor selain membantu Malaysia mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050, kata Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata walaupun IBR bukan secara langsung menjadi mandat atau mewajibkan penerimagunaan tenaga boleh baharu (TBB), struktur berasaskan prestasi dan insentif kecekapan itu dapat mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi amalan mampan.

“Pihak pengendali utiliti ini diberi insentif untuk meningkatkan kecekapan operasi masing-masing yang boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon. 

“Selain itu, rangka kerja kawal selia tenaga Malaysia, termasuk IBR, secara progresif turut menyepadukan lebih banyak dasar yang menggalakkan utiliti memanfaatkan teknologi lebih bersih dan mengurangkan jejak alam sekitar," katanya.

Tidak hanya meningkatkan kemampanan, IBR juga membantu menjadikan tenaga lebih berpatutan dengan keperluan utiliti beroperasi dalam had perolehan hasil dibenarkan semasa tempoh kawal selia, sambil penghantaran variasi dalam kos bahan api dan penjana sebenar kepada pengguna melalui mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.

“Struktur ini melindungi pengguna daripada turun naik harga tenaga yang melampau dan memastikan penjimatan kecekapan memberi manfaat secara langsung kepada pengguna akhir," katanya.

Muhammad Irwan turut menekankan aspek ketelusan dalam perubahan kos adalah sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan tenaga boleh diakses dan pada harga berpatutan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pasaran dan memberi kelebihan kos untuk rakyat.

Di samping itu, IBR turut menyokong keselamatan tenaga menerusi pembaharuan kawal selia dan pasaran, menggalakkan pelaburan dalam pemodenan grid dan infrastruktur pintar iaitu komponen utama keselamatan tenaga dalam Dasar Tenaga Negara.

“Menerusi langkah menggalakkan (pengendali) utiliti untuk berinovasi dan mengguna pakai teknologi baharu, IBR membantu membina grid yang lebih berdaya tahan dan fleksibel yang mampu mengendalikan permintaan tenaga boleh baharu (TBB) yang kian meningkat serta mengubah beban tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, IBR turut menumpukan penambahbaikan kawal selia yang berteraskan pendekatan telus dan prestasi, sekali gus memastikan pihak utiliti mengutamakan perkhidmatan boleh dipercayai dan pengoptimuman sumber, mengukuhkan daya tahan bekalan tenaga Malaysia selain mengimbangi kemampuan, katanya.

Inovasi teknologi dan ketelusan data pula menjadi langkah tambahan dengan IBR menyokong matlamat Dasar Tenaga Negara yang lebih meluas.

IBR turut memberi insentif kepada ketepatan data dan ketelusan operasi yang penting bagi pelaksanaan penyelesaian inovatif seperti penyimpanan tenaga, grid pintar dan sistem pengurusan yang dipacu oleh data.

Pada masa sama, memandangkan pihak pengendali utiliti melaporkan dan mengoptimumkan data prestasi di bawah IBR, Malaysia berupaya menjejaki penggunaan tenaga, corak permintaan dan pelepasan secara lebih baik - langkah penting dalam memenuhi sasaran dasar dan memupuk aspek inovasi.

 

 

Kemampuan untuk pengguna

 

Muhammad Irwan berkata IBR meletakkan keseimbangan antara keuntungan bagi syarikat tenaga dan kemampuan pengguna menerusi rangka kerja berstruktur yang menetapkan insentif berasaskan prestasi, had perolehan dan pelarasan kos bahan api.

Keseimbangan itu dapat dicapai menerusi ICPT, ganjaran dan penalti berasaskan prestasi serta kecekapan, pelarasan tarif yang telus dan pulangan pelaburan yang adil dengan pengawasan awam.

Di bawah mekanisme itu, pihak pengawal selia menetapkan had perolehan berdasarkan kos pengoperasian, perbelanjaan modal dan kadar pulangan pelaburan yang adil.

“Had ini biasanya disemak semula selang beberapa tahun (selalunya setiap tiga tahun) untuk memberi pulangan yang stabil namun munasabah untuk syarikat utiliti. Menerusi langkah ini, IBR membolehkan syarikat tenaga seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), kekal menguntungkan sambil memastikan keperluan hasil dikekalkan dalam had yang mengekang pengambilan untung secara berlebihan," katanya.

Bersandarkan keadaan kos bahan api yang tidak menentu dan merupakan sebahagian besar daripada perbelanjaan penjanaan elektrik, IBR termasuk mekanisme ICPT dapat menguruskan risiko ini.

ICPT, katanya, membenarkan pelarasan berkala dalam tarif pengguna, biasanya setiap enam bulan untuk mencerminkan perubahan kos bahan api di peringkat global.

 

“Menerusi pelepasan kenaikan atau penurunan sebenar kos bahan api, IBR memastikan pengguna membayar harga berpatutan yang sejajar dengan keadaan pasaran semasa.

“Ini membantu mengelakkan kenaikan tarif besar secara tiba-tiba untuk pengguna sambil menstabilkan hasil untuk syarikat tenaga apabila tidak terbeban dari segi kewangan akibat turun naik harga bahan api," katanya.

 

Pelaksanaan IBR

 

Ditanya jika wujud sebarang kekangan seperti halangan daripada pihak berkepentingan, ketelusan data dan teknikal yang terhad, Muhammad Irwan berkata terdapat beberapa kebimbangan berkaitan IBR namun ini tidak menghalang pelaksanaannya di Malaysia yang bermula pada 2014.

Syarikat-syarikat utiliti dan segelintir pihak berkepentingan misalnya telah menyuarakan kebimbangan mengenai had perolehan hasil dan penanda aras prestasi ditetapkan IBR yang disifatkan sebagai berkemungkinan mengehadkan potensi pendapatan dan meningkatkan permintaan operasi.

Langkah memperkenalkan ganjaran dan penalti berasaskan prestasi juga adakalanya disambut dengan kebimbangan, terutama jika syarikat berasakan standard atau piawaian yang terlalu ketat atau sukar dicapai sepenuhnya menerusi sumber sedia ada, katanya.

Sehubungan itu, bagi mengatasi kebimbagan itu, pengawal selia perlu kerap melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk TNB dan kumpulan penasihat pengguna bagi mendapatkan maklum balas mengenai had perolehan, matriks prestasi serta struktur insentif.

Perundingan sedemikian bertujuan mewujudkan proses kawal selia lebih inklusif yang membolehkan syarikat-syarikat menyuarakan kebimbangan selain mengukuhkan matlamat bersama mencapai tenaga yang berpatutan dan boleh diyakini untuk pengguna.

Dalam pada itu, pelaksanaan langkah prestasi tertentu secara berfasa atau berperingkat juga dapat membolehkan pihak utiliti menerimagunanya secara beransur-ansur, katanya.

“Data yang tepat penting bagi usaha menetapkan had perolehan, sasaran prestasi dan pelarasan tarif di bawah mekanisme ICPT," katanya.

Sebagai kesimpulannya, Muhammad Irwan berkata bahawa IBR telah memainkan peranan penting dalam memastikan kemampanan bekalan tenaga, lebih-lebih lagi dalam usaha negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan