BELANJAWAN 2025 > BERITA

Majikan Perlu Beri Pertimbangan Sewajarnya Kepada Pekerja Terjejas Banjir

30/11/2024 12:33 PM

BUKIT MERTAJAM, 30 Nov (Bernama) -- Majikan diharap dapat bertoleransi dan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada pekerja yang terjejas dalam menghadapi situasi bencana seperti banjir.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata majikan tidak boleh memotong gaji pekerja sewenang-wenangnya kerana perkara itu tertakluk di bawah Akta Kerja 1955 di Semenanjung, dan Ordinan Buruh bagi Sabah dan Sarawak. 

"Gaji tidak boleh dipotong kecuali yang dinyatakan dalam undang-undang, contohnya untuk potongan cukai berkala, KWSP, Perkeso dan sebagainya. Jadi, apa-apa potongan gaji harus ikut akta.

"Untuk keadaan banjir dan sebagainya, saya minta kalau ada majikan atau pekerja yang memerlukan bimbingan dari segi penyelarasan kerja supaya tampil atau menghubungi pejabat Tenaga Kerja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kesuma Kampung Baru Alma di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedia memberikan khidmat supaya aturan kerja tersusun dan apa jua tindakan khusus semasa bencana seperti gaji dan aturan kerja yang boleh diperincikan secara harmoni.

Sim berkata pihak kerajaan faham bahawa keadaan bencana ini adalah di luar kawalan semua pihak, maka perlu ada toleransi agar satu hubungan yang harmoni boleh disemarakkan.

Beliau berkata pendekatan ini pernah dilakukan sebelum ini ketika terdapat isu gangguan bekalan air apabila kebanyakan majikan dan pekerja tidak faham bagaimana untuk membuat penyelarasan waktu kerja, cuti dan sebagainya. 

"Saya minta supaya dia tampil ke Jabatan Tenaga Kerja dan kita akan memberikan khidmat nasihat kepada kedua-dua pihak agar boleh mengekalkan satu kefahaman dan juga memudah cara isu-isu berkaitan dengan pekerjaan di waktu krisis," katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan