BELANJAWAN 2025 > BERITA

Calon SPM Lega Dipindahkan Ke Asrama Sementara Untuk Duduki Peperiksaan

01/12/2024 08:37 PM

ALOR SETAR, 1 Dis (Bernama) -- Beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di negeri ini berasa lega kerana akan dipindahkan ke asrama sementara sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini, Muhammad Zairil Baharnordin, 17, berkata dia dan keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Gunong selepas rumahnya di Alor Gonchar dinaiki air hingga paras dada sejak Khamis lepas,

“Semua buku basah kena air dan saya terpaksa pinjam buku serta nota kawan-kawan untuk ulang kaji pelajaran. Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan terpaksa juga mengulangkaji di PPS ini.

"Risau juga untuk mengambil Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada Selasa ini tetapi apa pun saya akan buat yang terbaik. Hari ini guru ambil saya dan tiga lagi rakan di PPS ini untuk menginap di asrama SMK Alor Janggus seterusnya menduduki ujian di situ,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rakan sekolahnya, Nur Hasmira Najwa Hasan, 17, pula mengakui agak sukar untuk mengulang kaji pelajaran di PPS, justeru bersyukur apabila dimaklumkan dia akan dipindahkan ke asrama sekolah lain.

Dia berkata langkah itu akan memudahkannya mengulang kaji pelajar dan lebih fokus untuk menduduki peperiksaan.

“Kehadiran ramai mangsa banjir di PPS ini membuat agak sukar untuk saya memberi tumpuan pada pelajaran yang diulang kaji, jadi dengan tinggal sementara di asrama keadaan lebih tenang dan saya boleh fokus pada SPM,” katanya yang dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong sejak rumahnya dinaiki air beberapa hari lepas.

Bagi Nur Intan Aliesya Zamri, 17, pula, banjir yang berlaku tidak akan menjejaskan tumpuannya kepada SPM kerana telah membuat persediaan awal.

“Saya rasa banjir ini tidak akan menghalang saya menjawab SPM sebab kalau diikutkan saya sudah bersedia lama sebelum banjir,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah akan diteruskan seperti yang dijadualkan bermula esok hingga Khamis.

Fadhlina berkata keputusan itu selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.

Seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir iaitu di Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).

Semua calon terkesan banjir akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif, bagi memastikan kesemua calon dapat keselesaan untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan