BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPS, TNB Wujudkan Bilik Gerakan Pantau Banjir, Bekalan Elektrik Terputus - TPM Fadillah

02/12/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mewujudkan bilik gerakan atau 'war room' bagi memantau situasi banjir di kawasan terlibat seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu antara persediaan JPS yang berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menghadapi pasca bencana itu.

“Selepas banjir biasanya akan ada ‘banjir termenung’ jadi apa yang kita kena sediakan.. antaranya pam dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan I-Nation Global Summit 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata pihak TNB pula akan sentiasa memastikan tiada bekalan elektrik yang terputus dengan pembukaan war room yang beroperasi sepanjang masa.

"Mereka sudah buka war room sepanjang waktu untuk monitor dan memastikan bekalan elektrik dan juga pemantauan air dan sebagainya," katanya dan menambah berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kira-kira 153,000 mangsa terjejas akibat banjir setakat pagi tadi.

Sementara itu Fadillah berkata I-Nation Global Summit 2024 antara lain berkongsi mengenai kelestarian negara yang berhadapan cabaran perubahan iklim.

"Dengan cabaran perubahan iklim, kita akan berdepan dengan cuaca yang melampau, maknanya banjir, ribut, angin yang kuat, jadi bagaimana kita dapat memainkan peranan untuk kita pastikan kelestarian negara kita, keselamatan rakyat.

"Dengan menggunakan sains, diharapkan kita akan dapat buat jangkaan, jadi jangkaan itu kita akan dapat mengurangkan berlakunya bencana, siap siagakan rakyat dan berdepan dengan apa saja yang berlaku," katanya.

Sementara itu ditanya tumpuan kementerian apabila Malaysia mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Fadillah berkata antaranya ialah meningkatkan inisiatif Grid Kuasa ASEAN.

"Bagaimana kita hendak menterjemahkan tenaga hijau, tenaga boleh baharu sebagai komitmen keseluruhan negara ASEAN untuk memastikan kebersihan alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan