BELANJAWAN 2025 > BERITA

Global South Perlu Bersatu Dalam Tindak Balas Terhadap Ancaman Tarif Trump Ke Atas BRICS

02/12/2024 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Global South perlu bersatu walaupun dengan cara yang kecil untuk mencapai matlamat bersama, lebih-lebih lagi apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi ancaman tarif khusus ke atas kalangan negara BRICS.

Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Jomo Kwame Sundaram berkata Global South perlu mengatasi perbezaan antara mereka agar menjadi lebih berkesan dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran global secara kolektif.

Beliau berkata perkara penting di sini adalah BRICS secara konsisten telah “memberi subsidi” kepada AS dengan menjadikan dolar AS sebagai mata wang lazim.

“Kami mendapati cadangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS tidaklah sehebat mana kerana China bukanlah penggeraknya.

“Penting di sini untuk menyedari tindakan bank pusat China, People's Bank of China, baru-baru ini yang telah memutuskan untuk menerbitkan bon, bon dolar kepada dolar, yang akan dibiayai secara dalaman,” katanya ketika berucap di Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024 bertajuk “Challenges of a Post-Growth Financial Architecture” di sini, pada Isnin.

Jomo berkata Brazil, Afrika Selatan dan kadang kala Rusia merupakan penyokong utama terhadap cadangan itu namun, kemajuannya adalah lembap.

Beliau berkata oleh itu, tanpa kesediaan Barat sementara dipengaruhi oleh pandemik, Global South mempunyai peluang sebenar untuk meneroka dan mengembangkan kemungkinan dalam sistem tersebut, dengan syarat usaha itu perlu berteraskan matlamat bersama.

“Bagaimanapun, ini tidak akan berlaku melainkan Global South berkumpul sekurang-kurangnya secara minimum,” katanya.

Beliau juga menyeru Global South supaya mengukuhkan kerjasama kewangan dan membangunkan sumber kewangan alternatif untuk mengurangkan pergantungan kepada sistem yang diterajui Barat.

Trump telah menuntut supaya BRICS komited menggunakan dolar AS sebagai mata wang rizabnya, atau beliau akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas mana-mana negara BRICS yang cuba beralih daripada dolar AS dalam perdagangan antarabangsa.

Trump juga menekan organisasi antara kerajaan itu supaya menggunakan dolar AS sebagai mata wang rizab mereka dan mengelak daripada membuat mata wang BRICS baharu atau alternatif sokongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan