BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hentikan Serta-merta Budaya Dera Di UPNM - Sultan Ibrahim

03/12/2024 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.

Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.

“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.

“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah falsafah UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.

Oleh sebab itu, Seri Paduka Baginda bertitah universiti tersebut turut dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.

“Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini. Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017.

“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Lebih mendukacitakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak,” titah Sultan Ibrahim.

Pada istiadat konvokesyen itu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan para graduan bahawa mereka akan mengharungi pelbagai bidang pekerjaan yang lebih mencabar, selain tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan dan semuanya memerlukan usaha keras dan sifat takwa dalam setiap pekerjaan. 

Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.

“Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dan seorang anak yang sentiasa mengenang jasa serta mendoakan kedua ibu bapanya.

“Sudah tentu kejayaan ini adalah juga berkat doa restu daripada ibu dan bapa, serta usaha daripada tenaga pengajar. Justeru itu, jangan sekali-kali awak semua melupakan jasa dan peranan ibu bapa serta tenaga pengajar,” titah Sultan Ibrahim.

Mengakhiri titah, Yang di-Pertuan Agong mendoakan semoga kedaulatan dan kemakmuran negara akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman dan musibah.

Sementara itu, UPNM dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 1,266 graduan menerima penganugerahan dalam pelbagai bidang pada Konvokesyen ke-14 itu, dengan 19 orang terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (65), Ijazah Sarjana Muda (889) dan Diploma (293).

Istiadat konvokesyen berkenaan turut diserikan dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang diberikan kepada Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dalam bidang pengajian strategi dan pertahanan.

Menurut kenyataan itu lagi, istiadat konvokesyen tersebut juga menganugerahkan Hadiah Akademik bagi tahun ini kepada 54 graduan daripada Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Hadiah Akademik 2024 itu antaranya merangkumi Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor, Anugerah Sarjana Cemerlang Tuanku Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Pingat Emas Canselor.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, barisan Pro-Canselor dan Ahli Lembaga UPNM, serta beberapa wakil naib canselor atau rektor universiti awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan