Daripada Anas Abu Hassan
LAS VEGAS, 2 Dis (Bernama) -- Amazon Web Services (AWS) hari ini mengumumkan Mesolitica, syarikat pemula niaga Malaysia yang menumpukan latihan Model Bahasa Besar (LLM) telah membangunkan LLM kecerdasan buatan (AI) generatif bahasa Melayu yang dipanggil MaLLaM bagi perkhidmatan awannya.
MaLLaM boleh memahami nuansa tempatan, seperti slanga dan bahasa digunakan dalam percakapan harian, yang menggabungkan dialek berbeza, Bahasa Melayu dan 16 bahasa wilayah lain, untuk digunakan oleh pembantu AI merentas industri.
Pembantu AI yang memanfaatkan MaLLaM boleh memberi respons yang cepat dan tepat kepada pertanyaan dalam pelbagai bahasa, termasuk dialek dari pelbagai negeri Malaysia seperti Johor, Kedah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Usaha itu bertujuan meningkatkan keupayaan komunikasi orang ramai dan pemprosesan data di seluruh negara yang mempunyai kepelbagaian budaya, menurut AWS.
Pengarah Urusan AWS ASEAN Jeff Johnson berkata syarikat Malaysia yang menggunakan MaLLaM boleh meningkatkan operasi dengan AI generatif dalam bahasa serantau.
Beliau berkata usaha itu dapat membantu kalangan yang kurang mendapat perkhidmatan seperti petani di kawasan luar bandar dengan membolehkan mereka membuat keputusan dipacu data menggunakan parameter masa sebenar.
“Kerajaan Malaysia juga sedang meneroka penyepaduan MaLLaM ke dalam operasinya, yang sejajar dengan matlamat keseluruhan negara iaitu AI negara dan tadbir urus data tempatan,” katanya semasa taklimat media kalangan negara ASEAN di AWS re:Invent 2024 di sini, pada Isnin.
Menurut AWS, Mesolitica adalah sebahagian daripada Program AWS Asia-Pasifik dan “Generative AI Spotlight” Jepun, program pemecut empat minggu yang bertujuan menyokong syarikat pemula niaga di fasa awal di rantau ini yang membangunkan aplikasi AI generatif.
Syarikat pemula niaga itu adalah satu daripada dua syarikat Malaysia yang akan menerima kredit AWS daripada Program “AWS Activate”.
“AWS Activate”, satu inisiatif komprehensif yang menyediakan akses kepada pelbagai sumber, termasuk kredit AWS, sokongan teknikal, latihan dan alat yang disesuaikan untuk membantu syarikat pemula niaga membina, melancarkan dan memajukan aplikasi mereka menerusi AWS.
“Mesolitica telah menyertai ‘AWS Partner Network’, sebuah program global yang direka oleh AWS bagi membantu perniagaan memanfaatkan AWS untuk pertumbuhan dan kejayaan," menurut kenyataan AWS.
Syarikat itu telah mempertingkat operasi pembelajaran mesin dengan ketara apabila memanfaatkan perkhidmatan AWS, memindahkan beban kerja latihan modelnya kepada Amazon Elastic Cloud Compute (Amazon EC2), dan menggerakan beban kerja inferens menggunakan Amazon EC2 G5 Instance, yang menyediakan pelajuan unit pemprosesan grafik (GPU) yang menjimatkan kos bagi model AI.
AWS re:Invent 2024 yang diadakan pada 2 hingga 6 Dis, 2024 di beberapa lokasi di seluruh Las Vegas merupakan persidangan pembelajaran yang dihoskan oleh AWS untuk komuniti pengkomputeran awan global.
Acara itu mengetengahkan pandangan utama, peluang latihan dan pensijilan, akses kepada lebih 2,000 sesi teknikal, ekspo dan acara selepas waktu kerja, dan dijangka mengumpulkan kira-kira 60,000 peserta dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial