GEORGE TOWN, 3 Dis (Bernama) -- Iwata Japan, pemimpin global dalam bidang kimia dan bahan, mengambil alih EQX Materials Sdn Bhd yang kini akan beroperasi sebagai EQX Iwata Sdn Bhd dan menjadi anak syarikat utama dalam kumpulan Iwata.
Pengarah Urusan EQX Iwata Akito Mitsui berkata pengambilalihan ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuhkan kehadiran Iwata di Asia Tenggara dan seluruh Asia.
Akito berkata syarikat ini sedang meningkatkan keupayaannya untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan bahan-bahan termaju untuk sektor berpermintaan tinggi termasuk elektronik, semikonduktor, automotif dan aplikasi industri.
Beliau berkata portfolio meluas EQX Iwata merangkumi bahan-bahan termaju, penyelesaian kejuruteraan dan pengurusan rantaian bekalan yang melayani lebih 1,000 pelanggan dalam industri utama.
"Terkenal dengan kepakarannya dalam menyediakan bahan berkualiti tinggi dan lestari, EQX Iwata mengkhusus dalam produk yang direka untuk aplikasi ketepatan termasuk pelekat, bahan pengurusan haba dan elastomer berprestasi tinggi yang amat penting untuk sektor apabila kebolehpercayaan dan prestasi adalah kritikal," katanya ketika berucap di sini hari ini.
Beliau berucap pada majlis rasmi pengambilalihan EQX Materials Sdn Bhd oleh Iwata Japan dan penukaran nama kepada EQX Iwata Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.
Akito berkata sebagai anak syarikat Iwata Japan, EQX Iwata akan memanfaatkan sumber daya, kepakaran teknologi dan tumpuan kelestarian syarikat induknya untuk memacu inovasi produk dan meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan.
"Perikatan ini membolehkan EQX Iwata memperluas impaknya di Asia Tenggara, menyediakan penyelesaian lestari yang berfokuskan pelanggan dan selaras dengan komitmen alam sekitar serta etika Iwata," katanya.
Sementara itu, Loo berkata Pulau Pinang dengan infrastruktur, integrasi rantaian bekalan dan kepakarannya adalah pintu masuk yang ideal untuk pertumbuhan di Asia Tenggara dan seterusnya.
Beliau berkata pengambilalihan EQX Materials oleh Iwata mewujudkan suatu perikatan strategik yang menggabungkan kekuatan kedua-dua entiti untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
"Pengambilalihan ini juga menjadi bukti kepada ekosistem industri yang kondusif di Pulau Pinang, membolehkan perniagaan mengembangkan jejak global mereka dan mencapai kejayaan jangka panjang dalam pasaran yang kompetitif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial