BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gaji Bakat Dalam Industri Digital Diunjur Stabil Pada 7.19 Peratus Tahun Ini - PIKOM

03/12/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pertumbuhan gaji bakat dalam industri digital di Malaysia diunjur stabil, masing-masing pada 7.19 peratus tahun ini dan 7.12 peratus pada 2025, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM).

Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong berkata bakat digital di Malaysia menyaksikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan permintaan untuk pekerja berkemahiran dalam kecerdasan buatan (AI), sains data, pengkomputeran awan dan keselamatan siber, didorong oleh penggunaan digital yang pesat di seluruh negara.

“Pertumbuhan gaji dua angka sebanyak 13.90 peratus dicatatkan pada 2023 adalah pelarasan satu kali sahaja berikutan kemerosotan gaji semasa tempoh pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas.

“Kami gembira melihat pelarasan gaji positif ini iaitu pada tujuh peratus, mencerminkan ekonomi digital yang kukuh,” katanya pada sidang media bersempena sempena Pasaran Kerja Digital PIKOM dan Tinjauan Ekonomi 2024/2025, di sini hari ini.

Ong berkata kenaikan gaji mampan adalah penting untuk menangani isu penghijrahan cendekiawan yang berlaku sekarang kepada ekonomi menawarkan imbuhan lebih tinggi.

Sementara itu, Penasihat dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan PIKOM, Woon Tai Hai berkata ekonomi digital negara terus memberi impak ketara, menjadi asas kepada pertumbuhan dan daya saing bagi tempoh jangka panjang Malaysia.

“Menerusi sokongan padu kerajaan, meningkatkan kerjasama sektor swasta dan kumpulan tenaga kerja profesional mahir dalam digital yang semakin meningkat, Malaysia sedang menuju menjadi peneraju digital serantau.

"Peluang dalam industri digital ini adalah luas dan jika kita kekal fokus untuk memupuk bakat, inovasi dan merapatkan jurang gaji...Malaysia boleh terus membuka potensi penuh ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan