BELANJAWAN 2025 > BERITA

TNB Tutup Pencawang Elektrik Di Kawasan Banjir Elak Kemalangan - TPM Fadillah

03/12/2024 06:12 PM

PETALING JAYA, 3 Dis ( Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah menutup pencawang elektrik di beberapa kawasan di negeri yang terjejas banjir sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kemalangan berkaitan elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata tindakan itu juga bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin pada musim monsun timur laut ketika ini.

“Tapi pada masa yang sama mereka (TNB) menyediakan segala peralatan termasuk genset bagi memastikan di pusat-pusat pemindahan bekalan elektrik akan sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat kesiapsiagaan banjir di ‘war room’ TNB di Wisma TNB di sini hari ini.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Mahathir Nor Ismail.

Bercakap kepada Bernama selepas taklimat itu, Mahathir Nor berkata sejak seminggu lepas, sebanyak 455 pencawang elektrik di negeri terjejas banjir di seluruh negara ditutup atas faktor keselamatan.

Beliau berkata hingga tengah hari tadi, sebanyak 344 pencawang telah dibuka semula manakala selebihnya iaitu 111 masih ditutup. 

“Pencawang yang belum dibuka kerana air masih tinggi, contohnya seperti di Rantau Panjang atau Pasir Mas di Kelantan, saya lihat sendiri ketika melakukan tinjauan air masih tinggi di kawasan itu.

“Dikhuatiri kalau pengguna terlupa untuk menutup rangkaian bekalan elektrik di dalam kediaman akan berlaku kemalangan ataupun renjatan elektrik,” katanya.

 Sementara itu, beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya mengambil langkah segera menutup suis utama bekalan elektrik.

“Namun, orang ramai sekarang mempunyai kesedaran yang tinggi, kalau nampak air naik mereka akan terus menghubungi pihak TNB,” katanya.

Mahathir Nor berkata seramai 1,977 petugas TNB di seluruh negara sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sewaktu bencana.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan