JAKARTA, 3 Dis (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bersama agensi-agensi utama kerajaan berusaha memperkukuh eksport produk halal ke Indonesia dengan perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara dijangka mencecah US$25 bilion (US$1=RM4.45) hingga US$26 bilion tahun ini.
Berucap pada Seminar Celik Kastam Siri 2/2024 di kompleks kedutaan itu pada Selasa, Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara adalah sebanyak US$18.89 billion dari Januari hingga September 2024.
Beliau juga menekankan kepentingan mengenai prosedur bagi permohonan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia dan keperluan pensijilan halal daripada Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, sekali gus meningkatkan jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara.
“Seminar ini dapat memastikan pematuhan terhadap peraturan Indonesia meliputi makanan, minuman, kosmetik, ubat-ubatan, kosmetik dan barang keperluan lain yang dimasukkan atau diedarkan mempunyai sijil halal,” kata Syed Md Hasrin.
Beliau menyarankan supaya syarikat Malaysia memanfaatkan sokongan kedutaan bagi memenuhi keperluan peraturan dan merebut peluang pasaran di republik berkenaan.
Indonesia berada di kedudukan ketujuh dengan jumlah pembeli produk halal terbesar di dunia, berdasarkan laporan platform e-dagang Alibaba.com bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 2023.
“Indonesia menduduki tempat teratas di rantau Asia Tenggara. Negara-negara yang menduduki tempat pertama hingga keenam adalah Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Mesir, United Kingdom dan Arab Saudi,” jelasnya.
Beliau percaya kerjasama erat di antara agensi Malaysia seperti MATRADE, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan BPOM dan BPJPH Indonesia bakal mempermudah proses pensijilan bagi perniagaan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial