BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemakaian Peranti Pengesanan, Pengawasan Bukan Untuk Semua Penyakit Berjangkit

03/12/2024 07:23 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Pemakaian peranti bagi tujuan pengesanan dan pengawasan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, tidak terguna pakai untuk semua jenis penyakit berjangkit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemakaian peranti dan tempoh penggunaannya adalah bersifat sementara serta dibuat berdasarkan penilaian risiko yang teliti dan berpandukan berasaskan bukti dan amalan terbaik yang merangkumi faktor-faktor tertentu.

“Faktor-faktor itu seperti tergantung kepada penyakit bagaimana kalau mode of transmission itu adalah bawaan udara contohnya berbeza dengan sifatnya atau vector-borne yang tampak ada hal-hal yang terkait dengan zoonotik nyamuk dan sebagainya.

“Kadar kebolehjangkitan kalau ia mempunyai RO (R-naught) kebolehjangkitan yang tinggi maka ia lebih penting untuk dilakukan penggunaan peranti dan tempoh inkubasi sesuatu penyakit,” katanya pada sidang media khas berhubung Akta 342 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Penasihat Undang-undang KKM Ilham Abd Kader.

Dzulkefly berkata pemakaian atau penggunaan peranti pengesanan atau pengawasan ke atas individu yang disyaki adalah terhad untuk memastikan kepatuhan arahan pengasingan, pemerhatian dan pengawasan agar penularan jangkitan dapat dicegah serta dikawal.

Beliau berkata antara penyakit berjangkit yang tidak memerlukan pemakaian peranti pengawasan dan pengesanan ialah campak, denggi, mpox dan Ebola.

Ditanya mengenai bila pindaan Akta 342 akan mula dikuatkuasakan selepas lulus sebulat suara di Dewan Negara semalam, Dzulkefly berkata akta itu dijangka diwartakan suku pertama tahun hadapan.

“Buat masa ini, apa yang saya boleh maklumkan iaitu selepas Dewan Negara, lazimnya satu pindaan  RUU ini akan diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kemudian, menurut fasa satu di bawah RUU itu, akta ini boleh dikuatkuasakan pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam warta. Jadi, ia tidak segera dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Norhayati berkata pemakaian peranti pengesanan dan pengawasan itu adalah untuk kes-kes yang dianggap serius yang kadar kebolehjangkitan lebih cepat serta bahaya.

“Apabila kita kenakan pemakaian peranti ini, dia ada tempoh tertentu bergantung kepada tempoh inkubasi penyakit-penyakit tertentu. Penyakit yang teruk dan mudah berjangkit terutama melalui udara, apabila kita nak letakkan penggunaan (peranti) ini, memudahkan untuk mengenal pasti (pesakit),” katanya.

Beliau berkata satu Garis Panduan Perintah untuk Memakai atau Menggunakan Peranti Pengesanan di bawah Seksyen 15A akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan perincian mengenai peranti itu seperti jenisnya akan diputuskan kelak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan