BELANJAWAN 2025 > BERITA

KDN, UPM Bangun Modul Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Bagi Permohonan Warganegara

03/12/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membangunkan modul baharu ujian pengetahuan Bahasa Melayu sebagai ukuran kemahiran bahasa kebangsaan terhadap pemohon kewarganegaraan Malaysia.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu selari dengan syarat tambahan dalam permohonan kewarganegaraan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan 2024.

“Ada tanya, kenapa (tambah) syarat bahasa?… kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi.

“Jadi kalau Perlembagaan sebut kedudukan bahasa, apa sangat jika kita masukkan (syarat tambahan kemahiran Bahasa Melayu) malah kaedah ini jadi amalan negara luar seperti Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis untuk mohon jadi warganegara,” katanya pada sesi penggulungan RUU itu di Dewan Negara hari ini.

RUU itu antara lain bertujuan meminda Fasal (1) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara) dengan memasukkan perenggan bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam Bahasa Melayu.

Ia kemudian diluluskan dengan sokongan 50 Ahli Dewan menerusi undi belah bahagian selepas dibahaskan oleh 33 Senator manakala lima tidak hadir. 

Mengenai isu kerajaan tidak mengguna pakai pendekatan retroaktif dalam meminda RUU itu, Saifuddin Nasution berkata KDN telah mengkaji amalan terbaik di banyak negara seperti Singapura sebelum membuat keputusan.

“Kita ada senarai (negara) dan bila kita teliti, akhirnya kita buat keputusan yang munasabah iaitu kaedah yang sesuai dengan iklim dan acuan kita ialah pemakaian pendekatan secara ke depan.

“Kalau kita nak pakai pendekatan secara ke belakang (retroaktif), sampai bila dan hingga generasi ke berapa? Jadi semua ini perlu kita ambil kira tapi pada masa sama, ia tidak menjejaskan peluang anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia sebelum undang-undang ini dikuat kuasa untuk menjadi warganegara,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan