BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keseluruhan Sistem, Proses Pelaksanaan Pelan Jendela Fasa 2 Sedang Dirombak - Fahmi

03/12/2024 10:27 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang melakukan rombakan menyeluruh terhadap sistem dan proses pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pelan JENDELA yang sedang dirombak mesti lebih tepat dan jitu serta tidak hanya bergantung kepada penilaian desktop semata-mata.

Beliau berkata kontraktor yang gagal dalam pelaksanaan JENDELA Fasa 1 pula akan diteliti had penglibatan mereka dalam Fasa 2 yang dijangka melibatkan antara 2,500 hingga 3,000 tapak infrastruktur telekomunikasi seluruh negara.

"Kita jangkakan pada 2025, sekiranya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah teliti, kita umumkan Fasa 2 tetapi proses pertama (ialah) merombak keseluruhan sistem.

"(Rombakan) sudah berjalan dan kita mula merungkai banyak persoalan yang timbul,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan MCMC bagi pelaksanaan Bandar Pintar.

Mengulas mengenai pelaksanaan JENDELA Fasa 1 setakat ini, Fahmi berkata ada tapak yang telah dipilih untuk infrastruktur telekomunikasi dalam projek itu didapati tidak sesuai bagi memenuhi keperluan dan beliau juga tidak pasti mengapa ia dipilih.

“Tapak ini dipilih sebelum saya… biarlah, ia peninggalan tetapi kita cuba uruskan dengan tertib,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Hajiji semalam bahawa prestasi kontraktor JENDELA Fasa 1 di Sabah masih belum memuaskan, Fahmi berkata beliau amat bersetuju dengan Ketua Menteri itu.

“Ini adalah masalah legasi, masalah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini tetapi sejak dua tahun saya pegang amanah Kementerian Komunikasi, kita lihat penyedia perkhidmatan JENDELA Fasa 1 lebih gigih siapkan baki tetapi di Sabah, masih banyak perlu diusahakan,” katanya.

Semalam, Hajiji juga berkata beliau dimaklumkan bahawa hanya 217 daripada 382 menara telekomunikasi, atau 57 peratus, di bawah JENDELA Fasa 1 yang siap dibina di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan