BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPKM Kaji Pindaan Beberapa Akta Berkaitan Peladang, Nelayan

04/12/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengkaji semula pindaan terhadap Akta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 1973 (Akta 110), Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) serta Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44).

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu penting dalam memastikan tatakelola institusi termasuk persatuan dan pertubuhan di bawah KPKM kekal relevan ke arah merealisasikan agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dicadangkan terhadap pindaan Akta 110, Akta 109 dan perundangan subsidiari di bawahnya merangkumi memperkasakan fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh pendaftar serta melindungi hak dan kepentingan anggota Pertubuhan Peladang dengan lebih komprehensif.

“Selain itu, memperkasakan Pertubuhan Peladang dengan perluasan penglibatan meliputi pelbagai peringkat bagi mewakili komposisi ahli pertubuhan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Bersatu-Labuan) yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk mengkaji semua dasar yang melibatkan agensi di bawah KPKM.

Beliau berkata penambahbaikan yang dicadangkan bagi pindaan Akta 44 dan perundangan subsidiari di bawahnya iaitu Peraturan-Peraturan Persatuan Nelayan 1972 pula termasuk memperkasakan fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh pendaftar serta memperluas dan menambah keahlian Persatuan Nelayan dalam kalangan nelayan darat.

Penambahbaikan yang dicadangkan terhadap pindaan akta itu turut merangkumi penguatkuasaan penubuhan Unit Nelayan di setiap Persatuan Nelayan, melindungi hak dan kepentingan ahli Persatuan Nelayan dengan lebih komprehensif dan menambah baik proses pemilihan Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan agar lebih efektif.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sama ada kementerian akan meningkatkan jumlah Geran Agropreneur Muda (GAM) yang berjumlah RM20,000, Mohamad berkata KPKM berhasrat untuk meningkatkan jumlah itu kepada RM30,000.

Beliau berkata cadangan pertambahan peruntukan itu bagi memberi galakan kepada golongan muda terutamanya lulusan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta graduan yang mahu memulakan perusahaan dalam bidang itu.

“Kita sedang melihat perkara ini dengan lebih serius kerana agropreneur (usahawan pertanian) muda ini kita perlu bantu mereka dan kalau boleh mereka telah buat satu perusahaan berjaya.

“Kalau tidak cukup lagi modal mereka, kita tambah dan kita akan berbincang dengan Agrobank supaya mereka dapat tambah kegiatan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan